Rabu, 15 Jun 2011

04 di machap - Google Blog Search

04 di machap - Google Blog Search


MUAR KINI: Rumah peniaga musnah

Posted: 09 Jun 2011 07:37 AM PDT

MUAR - "Saya tidak menyangka panahan petir telah menyebabkan rumah ibu saudara saya musnah terbakar," demikian pengakuan saksi kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Parit Raja, Pagoh, di sini, semalam.

Mahzan Abdul Manaf, 46, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 petang, dalam keadaan hujan lebat yang disusuli dengan dua panahan petir sangat kuat.

Menurutnya, semasa kejadian dia berada dalam rumahnya yang terletak kurang daripada 50 meter di belakang rumah ibu saudara.

"Sejurus selepas :panahan petir ini menyebabkan bekalan elektrik di rumah saya turut terputus.

"Selepas 10 minit berada dalam rumah tanpa bekalan elektrik memaksa saya keluar ke beranda hadapan rumah kerana kurang selesa dengan keadaan rumah yang agak panas," katanya kepada Sinar Harian.

Mahzan berkata, sebaik berada di hadapan rumah, dia terhidu bau hangit yang kuat tetapi tidak tahu dari mana puncanya.

"Kerana bimbang, saya memeriksa seluruh rumah dan lega apabila mendapati keadaan rumah selamat kerana kesemua suis dan plug elektrik rumah telah ditutup sebaik sahaja bekalan elektrik terputus.

"Tetapi, saya terkejut apabila keluar semula dari rumah apabila melihat kepulan asap hitam keluar dari bumbung rumah ibu saudara," katanya.

Menurutnya, melihat keadaan api mula marak dia segera bertindak menghubungi pihak bomba kerana bimbang api merebak ke rumah berhampiran.

Mangsa kebakaran, Asiah Taib, 50, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berniaga kedai makan di Machap.

"Saya mendapat berita rumah terbakar selepas dihubungi saudara mara dan bergegas pulang ke rumah.

"Sejak berniaga di Machap, saya tinggal di sana dan hanya balik ke rumah ini sekurang-kurangnya seminggu sekali," katanya.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan insiden yang berlaku itu, tetapi Asiah bersyukur kerana tiada anak-anak yang tinggal di rumah berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar berkata, sebaik menerima laporan seramai sembilan anggota bomba dengan dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba keadaan api semakin marak dan rumah berkenaan telah terbakar sebanyak 80 peratus.

"Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk memadamkan api bagi mengelakkan api daripada merebak ke rumah berhampiran.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sinar Harian
9 Jun 2011

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads