Jumaat, 9 Mac 2012

04 di serkam - Google Blog Search

04 di serkam - Google Blog Search


Jengka 19: Utusan Online - Selatan

Posted: 08 Mar 2012 03:29 AM PST


Serkam syurga makanan halal

Posted:

Serkam syurga makanan halal

Serkam syurga makanan halal

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my


Gerai ikan di Sempang menyediakan pelbagai jenis ikan segar untuk pelanggan yang datang dari kawasan sekitar dan luar dengan harga yang berpatutan.


JASIN 7 Mac - Kampung Serkam adalah sebuah kampung antara yang tertua di negeri ini dan selalu mendapat kunjungan pedagang Islam dari Arab dan India.

Mereka datang berdagang dan mengembangkan ajaran Islam dan kawasan ini juga menjadi tempat persembunyian pahlawan-pahlawan dari Palembang yang kalah berperang.

Ini menjadikan Kampung Serkam mempunyai banyak rahsia. Asal usul kampung ini berasal dari perkataan Arab 'Sir' bermaksud rahsia dan 'Kam' bermaksud banyak.

Sirkam bermaksud 'kampung banyak rahsia dan ia diubah menjadi Serkam.

Dulu, Kampung Serkam terkenal dengan gelaran 'Serambi Mekah' kerana ramai anak muda pergi mempelajari bidang agama Islam di Mekah dan pulang menjadi guru agama dan mendirikan pondok-pondok agama.

Kampung Serkam mempunyai kawasan yang luas merangkumi Kampung Umbai, Pulai, Tedong dan Sempang tetapi setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ia telah dipecah-pecahkan bagi memudahkan ia diurus dan ditadbir.

Kini kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam meliputi Kampung Bukit Tembakau, Umbai Pantai, Berangan Enam, Tanjung, Seri Minyak, Pulai, Serkam Darat, Tedong, Sempang dan kampung Serkam.

Masa sudah berlalu dari sebuah perkampungan terpencil, Serkam kini membangun di mana penduduknya menikmati pelbagai infrastruktur kemudahan awam di setiap kampung di DUN tersebut.

Komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri dapat dilihat dengan terbinanya kemudahan asas untuk masyarakat di Serkam seperti kemudahan balai raya, dewan serba guna, surau, masjid, sekolah menengah dan rendah, gerai-gerai perniagaan, tandas awam dan sebagainya.

Terdapat dua buah sekolah menengah, tujuh sekolah rendah serta sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di samping mempunyai sepuluh buah masjid serta 53 surau di seluruh DUN Serkam.

Di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Serkam membangun dengan mempunyai tarikan tersendiri berbanding beberapa daerah yang lain di negeri ini.

Tidak hairanlah Serkam boleh dilabelkan sebagai syurga makanan halal di negeri ini.

Mercu tanda utama di kawasan ini ialah Serkam Halal Hub yang menjadi kawasan hab industri terbesar di negeri ini selain berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dibangunkan di kawasan seluas 53. 4 hektar di Kawasan Perindustrian Serkam, kini menjadi hab pengedaran produk halal bagi mempelbagaikan ekonomi di DUN tersebut selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan baru kepada penduduk setempat.

Serkam Halal Hub mempunyai 58 usahawan Bumiputra terlibat dalam industri seperti pembuatan sarung tangan getah, kotak telor, mayonis, makanan ternakan, roti putar, jus, minuman dan makanan ringan, acar, koko minda serta herba.


Ghazale Mohamad (kanan) melayan sebahagian pelancong yang menjamu selera makanan laut di Perkampungan Ikan Bakar Terapung di Umbai, Jasin, baru-baru ini. - utusan/azli ahad


Pembinaan Serkam Halal Hub dengan pengeluaran produk halal tertumpu bagi pasaran eksport luar negara dan tempatan.

Selain itu, Serkam cukup sinonim sebagai destinasi medan ikan bakar yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Antara yang paling popular ialah Perkampungan Ikan Bakar Terapung di Umbai, Medan Ikan Bakar Jeti Anjung Batu, Medan Ikan Bakar Serkam dan Medan Ikan Bakar Sempang Pantai.

Menariknya daripada restoran-restoran makanan laut biasa, medan ikan bakar di sini menawarkan makanan laut bakar seperti ikan, udang, kerang, sotong, lala dan kupang.

Kewujudan medan ikan bakar tersebut secara tidak langsung menambah produk pelancongan sedia ada di DUN tersebut.

Bagi golongan nelayan di empat kawasan utama iaitu Sempang, Pantai Siring, Serkam Pantai dan Umbai, nasib mereka terbela apabila kesemua jeti dinaiktaraf menerusi peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

Sempang mendapat peruntukan sebanyak RM6.2 juta, Pantai Siring (RM10.4 juta), Serkam Pantai (RM5.2 juta) dan Umbai (RM5.6 juta).

Kerja-kerja menaik taraf semula jeti yang mengandungi pelbagai kemudahan seperti gerai menjual ikan segar, tandas, surau, stor, bengkel membaiki bot, gerai makanan, gerai ikan bakar dan sebagainya.

Apabila siap sepenuhnya hujung tahun ini, nelayan tidak lagi menghadapi masalah untuk meletakkan bot-bot yang mempunyai jeti konkrit selain mudah bagi mereka untuk mendaratkan tangkapan ikan masing-masing.

Selain itu kemudahan pelantar memancing juga turut menjadi tarikan kepada kaki pancing untuk menjinakkan pelbagai spesies ikan seperti jenahak, kurau, senangin, pari dan mayong.

Pelantar memancing terdapat di Sempang, Pantai Siring dan Umbai.

Seramai 1,150 calon STPM lulus penuh

Posted:

Seramai 1,150 calon STPM lulus penuh

Seramai 1,150 calon STPM lulus penuh

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


CALON STPM yang memperolehi PNGK 4.0, dari kiri: Justina Ee, Yip Zi Xin, Alvin Poh, Teo Xin Lei dan Gan Nan Sie menunjukkan slip masing-masing selepas menerima keputusan STPM di SMK Tinggi Melaka, Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD


MELAKA 7 Mac - Seramai 1,150 atau 95.51 peratus daripada 1,204 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 di negeri ini berjaya lulus penuh dalam peperiksaan itu tahun lalu.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Yusoff Osman berkata, jumlah tersebut menurun 1.44 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan 1,239 pelajar mendapat lulus penuh.

Menurutnya, seramai 595 calon atau 49.42 peratus pula berjaya memperoleh empat prinsipal dan peratusan itu mengatasi peratusan nasional sebanyak 6.83 peratus.

"Dari segi kualiti, pelajar STPM yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 adalah seramai 11 orang iaitu enam daripadanya merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka dan masing-masing satu dari SMK Yok Bin, SMK Munshi Abdullah, SMK Tun Tuah, SMK Pulau Sebang dan SMK Datuk Bendahara.

"Jumlah calon yang memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas pula ialah 408 calon iaitu 33.89 peratus, meningkat 2.27 peratus berbanding 31.62 peratus tahun 2010," katanya dalam satu kenyataan di Pejabat Pelajaran negeri, di sini hari ini.

Pada tahun lalu juga, menurut Mohamad Yusoff, sebanyak tujuh sekolah telah mencatat prestasi 100 peratus lulus penuh iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang, SMK Yok Bin, SMK Gajah Berang, SMK St. Francis, SMK Seri Mahkota, SMK Dato' Dol Said dan SMK Ghafar Baba.

11 calon peroleh PNGK 4.0

Posted:

11 calon peroleh PNGK 4.0

11 calon peroleh PNGK 4.0


Clement Kwan Joon Kit (tengah) bersama rakannya, Shafiah Nasrin Nasser Ali Khan (kanan) dan Loh Kar Woon berkongsi kegembiraan selepas masing-masing mendapat keputusan cemerlang 4A dalam peperiksaan STPM di Sekolah King George V, Seremban, semalam.


SEREMBAN 7 Mac - Sebanyak 11 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini pada tahun lalu berjaya memperoleh kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri (JPNS), Datuk Abdul Halim Abdul Razak berkata, jumlah pencapaian pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran itu menurun sedikit berbanding 12 orang pada tahun lalu.

''Semua mereka yang mendapat keputusan PNGK 4.0 terdiri daripada lima orang yang mengikuti jurusan sains dan enam orang dari jurusan sastera," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak 1,415 calon menduduki STPM pada 2011 berbanding 1,520 orang calon pada 2010

''Sebanyak 1,353 daripada mereka adalah calon sekolah kerajaan, sembilan calon sekolah swasta dan 62 calon persendirian.

''Daripada jumlah berkenaan seramai 1,284 calon telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding 2010.

''Sebanyak 20 calon pula lulus lima prinsipal, 579 lulus empat prinsipal, 327 lulus tiga prinsipal, 191 lulus dua prinsipal dan 167 lulus satu prinsipal," tambah beliau.

Daripada segi mata pelajaran, Abdullah memberitahu, subjek Syariah mencatatkan kelulusan tertinggi dicatatkan dengan merekodkan 96.9 peratus bagi sekolah kerajaan.

Sementara itu tambah beliau, lapan mata pelajaran lain yang meningkat prestasinya adalah Kesusasteraan Melayu sebanyak 17.2 peratus, Geografi (16.2 peratus), Perakaunan (7.5 peratus), Matematik (7.2 peratus), Sejarah (4.6 peratus), Bahasa Tamil (4.3 peratus), Syariah (1.5 peratus) dan Ekonomi (0.8 peratus).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads