Isnin, 5 September 2011

04 di tanjung kling - Google Blog Search

04 di tanjung kling - Google Blog Search


Perjuangan Hang Tuah dan Jebat - Salam Perjuangan

Posted: 04 Sep 2011 06:46 PM PDT


Siapa tidak kenal dengan nama Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu Melaka yang sifatnya ingin berbakti kepada Sultan Melaka dan terlalu menjunjung tinggi institusi kesultanan Raja Melaka.
Riwayat hidup Hang Tuah banyak diceritakan di dalam hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang sekitar abad ke-15. Hikayat Hang Tuah adalah karya kesusteraan Melayu yang cuba dipaparkan oleh pengarang tentang sifat kepahlawanan Hang Tuah bersama 4 teman karibnya. Banyak episod-episod yang dilalui oleh beliau bersama teman-teman karibnya dari mula cerita beliau dilahirkan sehinggalah berakhirnya zaman kegemilangan Melaka – ditawan Portugis atau Peringgi.
Kebiasaannya sesuatu hikayat yang dikarang bersifat kearah menaikkan semangat dan terdapat unsur fantasi yang wewujudkan pemikiran berterusan tentang cerita yang dikarang. Dalam konteks tersebut, Hikayat Hang Tuah tidak dinafikan dapat menaikkan semangat keperwiraan bangsa Melayu. Unsur fantasi yang diselitkan juga boleh dianggap mitos. Istilah mitos berasal dari perkataan Yunani 'Muthos' iaitu cerita. Walaupun nampak benar dan ditambah mitos, namun terdapat banyak versi tentang Hang Tuah yang masih dipertikaikan kesahihan sejarah kewujudan pahlawan Melaka ini.
"Tidak Hilang Melayu di Dunia" ungkapan Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.
Asal-usul Hang Tuah menurut sejarah Melayu
Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu yang hidup pada masa pemerintahan Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400-1511). Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampong Sungai Duyong kira-kira dalam tahun 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana.
Bagaimana Hang Tuah menjadi Laksamana – Hikayat Hang Tuah
Hang Tuah bersama empat orang kawannya – Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Hang Tuah telah jatuh cinta pada Melor, anak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi pembantu Adiputra. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana.
Versi 'Hikajat Hang Tuah' – terbitan Balai Pustaka, Jakarta (Cetakan ke-3, 1956)
Kisah kepahlawan nusantara ini dihuraikan di dalam 24 bab secara panjang lebar. Dari catatan pengantar, buku Hikayat ini disalin dari salah satu naskah tulis tangan huruf Arab. Pada sampul bahagian dalam ada tertulis – "Inilah hikayat Hang Tuah yang amat setia kepada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebajikan kepada tuannya".
Kisah dimulai dengan bab yang menguraikan asal-usul raja di Melaka atau Melayu. Terdapat seorang raja bernama Sang Pertala Dewa, yang akan mempunyai seorang anak dan dia akan menjadi raja di Bukit Seguntang. Keturunan-keturunan sang dewa inilah dengan segala kemuliaan yang dimiliki kemudian menjadi raja-raja di tanah Melayu.
Hang Mahmud telah mendengar khabar gembira tentang negeri Bintan, sudah mempunyai seorang raja, cucu Sang Pertala Dewa. Hang Mahmud pun bergegas mengajak isteri dan anaknya pindah ke sana. Di Bintan, Hang Tuah bertemu dan bersahabat dengan Hang Jebat, Hang Kesturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Kelima pemuda itu diceritakan selalu bersama-sama, seperti lima orang bersaudara.
Suatu hari, Hang Tuah mengusulkan pada keempat sahabatnya untuk pergi berlayar dan merantau bersama-sama. Di tengah pelayaran, mereka bertemu dan menundukkan tiga perahu yang ternyata adalah musuh Bintan dari Siantan. Kawanan tersebut tak lain adalah kaki tangan Patih Gajah Mada dari Majapahit yang ingin memperluas kekuasaan dengan merompak di Tanah Palembang. Akhirnya, lima sekawan itu diangkat menjadi abdi salah seorang pemimpin di negeri Bintan, yang dipanggil Bendahara Paduka Raja. Dari sinilah kisah perjuangan Hang Tuah yang akhirnya bergelar laksamana.
Seorang ahli sastera, Sir Richard Windstedt, pernah berkata bahawa karya sastra klasik seperti Hikayat Hang Tuah ini serupa dengan syair-syair kisah kepahlawanan yang banyak dihasilkan di Jawa pada abad ke-11. Karya-karya ini dikatakan mengubah sejarah menjadi mitos, atau sebaliknya mengubah mitos menjadi sejarah. Tokoh Hang Tuah sendiri pun tidak dapat dipastikan sebagai tokoh mitos atau sejarah, meskipun dalam sejarah Melayu (Malay annals) disebutkan Hang Tuah mati pada abad ke-15.
Persoalannya adalah sejauh manakah kesahihan cerita Hang Tuah dan Sultan Melaka didalam Hikayat, buku sejarah Melayu serta teater bangsawan. Adakah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka wujud atau mitos semata-mata? Buktinya?
Ini persoalan besar yang ditimbulkan ramai pengkaji sejarah tempatan sama ada di kalangan rakyat biasa atau tokoh akademik sedangkan bukti nyata atau fizikal tidak menyokong kemegahan zaman kesultanan yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah – antara persoalan yang ditimbulkan oleh saudara Yusri Abdul Malek – harian metro di dalam sebuah blog – Hang Tuah, sejarah atau lagenda?.
Tambah beliau lagi, di Melaka sahaja, yang menjadi lokasi zaman kegemilangan Sultan Melaka pada kurun ke-13 dan 14, tiada satu kubur atau makam sultan yang memerintah Melaka wujud begitu juga dengan beberapa pembesar atau orang kenamaan lain yang terkenal. Begitu juga ketiadaan monumen lain seperti tapak asal istana sultan dan barangan kebesarannya yang penting sebagai bukti sejarah. Apa yang ada di Melaka hanya peninggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sedangkan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Melaka boleh dikatakan tiada langsung.
Jawapan – Portugis setelah menawan Melaka, telah mengarahkan pembinaan kota/kubu (A Famosa). Tembok kubu ini dibina dari batu-batu masjid-masjid yang telah dimusnahkan, tembok/kubu kota Melaka serta dari makan-makam diraja. Itulah sebabnya tiada catatan kewujudan makam Sultan/Pembesar di Melaka.
Bukti atau tinggalan sejarah penting dalam menjawab persoalan serta teori yang pelbagai selaras dengan sejarah dan hikayat. Walaupun Hikayat Hang Tuah mengandungi unsur-unsur fantasi yang menaikkan semangat bangsa, namun karangan hikayat harus berlandaskan cerita atau sejarah yang ada. Penulis yakin bahawa banyak versi cerita adalah betul, cuma ditokok tambah buat menyedapkan jalan cerita dan kesannya.
Polemik lain yang membawa kepada teori Hang Tuah bukan Melayu, malah berbangsa Cina dan ditambah dengan sokongan fakta logik sejarah. Kekeliruan sedemikian wajib dikaji dan dihuraikan agar sejarah Hang Tuah dipelihara kesahihannya dan keasliannya.
Menurut sumber dari berita harian pula, walaupun Hang Tuah disebut dalam Hikayat Hang Tuah yang tidak diketahui penulisnya dan juga dalam kitab Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang, laksamana masyhur Melaka ini dianggap sekadar watak ciptaan. Ceritanya juga dianggap sebagai modal penglipur lara untuk menghiburkan waktu senggang rakyat sejak dahulukala.
Antara hujah yang masih didebatkan adalah mengenai Sejarah Melayu itu yang ditulis kira-kira sekurun selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis. Tun Seri Lanang sendiri pun menulis berdasarkan cerita yang disampaikan leluhur dan kelompok masyarakat sebelumnya.
Segolongan ahli sejarah dan cendekiawan hari ini berpendapat bahawa naskhah yang menyentuh tentang Hang Tuah itu bukanlah histografi yang tepat. Lantaran digarap dalam pelbagai versi, menjadi sukar untuk para pengkaji menemui kata setuju terhadap pembuktian kewujudannya.
Perigi Hang Tuah di Melaka juga diragui kesahihannya. Pendapat mengatakan bahawa perigi tersebut dinamakan perigi membawa tuah dan bukan perigi Hang Tuah. Ini disebabkan perigi tersebut digunakan sebagai air cucian kepada kenderaan berhias yang masuk bertanding dan membawa tuah serta menang.
Menurut sumber lain, antara tinggalan sejarah Melaka adalah makam Sultan Ali di Kg Umbai, makam Sultan Hussein di Tengkera, makam Sultan Alaudin Ri'ayat Shah di Pagoh serta makam Sultan Iskandar Shah di Fort Canning, Singapura. Menurut catatan Inggeris dan Portugis, tapak istana Melaka dan Sultan Pahang terletak di atas Bukit St. Paul telah dibakar oleh Portugis atau Peringgi semasa mereka menakluk Melaka.
Pembaca keliru? Sultan Alaudin Ri'ayat Shah di Pagoh?
Sultan Mahmud Shah naik takhta pada tahun 1488, menggantikan ayahandanya Sultan Alauddin Ri'ayat Shah yang mangkat muda. Ini bermakna makam ayahandanya sepatutnya berada di Melaka. Walhal Melaka pada ketika itu masih aman dan tidak diganggu oleh kedatangan Portugis. Portugis hanya datang dan menawan Melaka pada tahun 1501. Bagaimana makam baginda berada di Pagoh? Pagoh ialah tempat akhir menetapnya Sultan Mahmud Shah. Mungkin Sultan Mahmud Shah mengarahkan makam ayahandanya dipindahkan ke sana? Tidak mungkin dan makam itu adalah sebenarnya Sultan Alauddin Ri'ayat Shah II..
Ketika hujah dan fakta yang menyiasat ke arah sejarah Hang Tuah dan hubungkaitnya dengan kesultanan Melaka, timbul pendedahan yang dibuat oleh En. Ismail Mohamed Yaacob, warga Singapura yang mendakwa dia dari keturunan Hang Tuah. Apabila membacanya, penulis menarik nafas lega kerana penulis mengharapkan bahawa Hang Tuah benar-benar wujud dan bukan dongeng atau watak cerita. Dalam blognya, En Ismail menceritakan tentang manuskrip asal Hikayat Hang Tuah yang berada dalam simpanan Perpustakaan Negara Malaysia.
Menurut sumber dari blog PGX, Ismail berkata, semua keturunannya tinggal di Kampung Sungai Duyong, Melaka sejak zaman-berzaman tetapi pada sekitar 1940-an, bapanya, Muhamad Yaacob Abdullah terpaksa melarikan diri ke Singapura selepas diburu komunis.
Menurutnya lagi, disebabkan sayangkan generasinya, dia sendiri menjalankan kajian terperinci berhubung salasilah dan susur-galur Hang Tuah bagi membuktikan Hang Tuah benar-benar hidup ketika zaman kesultanan Melayu Melaka. "Saya akui terdapat 11 versi cerita Laksamana Hang Tuah yang berbeza disebabkan tiada pihak mahu mengkajinya secara mendalam.
"Saya juga mempunyai bukti Hang Tuah mati di Palembang kerana sakit tua. "Kubur Hang Tuah yang ada di Tanjung Kling sekarang bukannya kubur Hang Tuah tetapi milik seorang ulama Islam berasal dari Gujerat, India. "Semua ini diceritakan dari generasi ke generasi dan ia fakta sejarah.
Jika benar dalam Sejarah Melayu mengatakan Hang Tuah mati di Tanjung Kling, kenapa penduduk sekitar yang tinggal di situ menafikan fakta itu. "Penduduk yang tinggal di Tanjung Kling sejak turun-temurun sudah pasti tahu kubur siapa yang ada di kampung mereka berdasarkan cerita dari mulut ke mulut," katanya.
Ismail juga mendakwa mempunyai bukti bergambar bahawa makam Hang Tuah ada di Palembang. Begitu juga makam Hang Lekir, Lekiu dan Kasturi yang didakwa masih ada di Bintan, Kepulauan Riau.
Harapan penulis agar fakta sejarah yang berkait dengan Hang Tuah dan kesultanan Melaka dapat didedahkan agar masyarakat Melayu tahu asal-usul sejarah agung pahlawan dan kesultanan Melayu Melaka.
Maklumat diatas hanya sekadar berkongsi dan segala kekeliruan dari fakta atau bukti hanya mampu dijawab dalam perbincangan dan kajian menyeluruh sejarah Hang Tuah.
Sekian dari pejuangmelaka
Sharing is caring.. "Sampaikan dakwah walaupun sepotong ayat"
Harap share di facebook atau twitter anda.. Salam Perjuangan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads