Tugu: Pemuda PAS Melaka tuntut penjelasanMELAKA,  22 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menggesa kerajaan negeri  memberikan penjelasan tentang pembaziran yang berlaku di dalam pembinaan  tugu 1Malaysia yang ditempatkan di Pantai Klebang.
Ketua  penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, kos pembinaan tugu  1Malaysia tersebut bernilai RM352,000 iaitu semasa dilancarkan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari lalu.
Katanya, os tersebut meningkat tiga kali ganda berbanding harga pasaran iaitu RM100,000.
Tugu  1Malaysia tersebut dibina daripada tetulang besi dengan ketinggian 17.7  meter dan lebar 9.1 meter yang dibaluti dengan kanvas pada bahagian  depan dan belakangnya dengan asasnya diperbuat daripada konkrit.
Manakala  pada bahagian kiri kanannya ditutup  dengan menggunakan aluminium nipis  dan lantai pentas kecil di hadapannya ditutup dengan kayu lapis nipis  beserta 15 unit tiang bendera di tepi tugu tersebut.
Pada waktu  malam tugu tersebut diterangkan dengan cahaya lampu kalimantang yang  jika dinilai secara kasar harganya tidak sampai RM5,000.
"Ini suatu yang pelik bagaimana kos tugu tersebut boleh mencecah RM352,000," ujarnya.
Beliau  difahamkan pembaziran juga berlaku semasa majlis makan malam pelancaran  tugu 1Malaysia tersebut di mana kos berjumlah RM600,000 telah digunakan  semata-mata untuk menampung kos makan malam bersama Najib.
Katanya,  hasil tinjauan setelah 16 bulan tugu tersebut dilancarkan, ia berada  dalam keadaan yang menyedihkan yang mana terdapat kesan koyak pada  kanvas tugu tersebut, pada bahagian lantai pentas tugu tersebut yang  diperbuat daripada kayu telah patah dan terdapat kesan-kesan karat pada  kerangka besi tugu tersebut (gambar kiri).
Ini, katanya suatu  pembaziran yang ketara dilakukan oleh kerajaan negeri di saat rakyat  negeri Melaka terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang.
"Bayangkan  kos pembinaan dan kos makan malam tersebut sahaja sudah berjumlah  RM952,000 iaitu satu jumlah yang mampu menampung orang-orang miskin di  Melaka," katanya.
Baru-baru ini rakyat Melaka juga telah dibebani dengan kenaikan 20 % harga air yang meningkat bermula 1 April lalu.
Ia,  ujarnya suatu lagi bebanan yang terpaksa ditanggung di saat kerajaan  negeri sendiri mampu berbelanja besar untuk membina sebuah tugu yang  tidak memberikan manfaat besar pada rakyat.
Katanya, kerajaan  negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Ali Rustam seharusnya  memikirkan tentang nasib rakyat yang terkesan dengan kenaikan pelbagai  barang.
Sebelum ini, ujarnya pembinaan tugu 1Malaysia ini menjadi  isu agama di mana pembinaan tugu tersebut dikhuatiri mengandungi  unsur-unsur pemujaan.
"Sebelum ini juga dewan pemuda PAS Negeri  Johor telah membangkitkan isu ini dengan menggesa kerajaan persekutuan  menyatakan pendirian berkenaan tugu tersebut," katanya.
Mufti  Perlis, Dr Juanda Jaya juga berpendapat agar pembinaan tugu 1 Malaysia  tidak di lakukan jika ia mengandungi unsur-unsur pemujaan yang membawa  kepada syirik.
Beliau berkata, adalah malang bagi rakyat Melaka  dengan pembinaan tugu 1Malaysia tersebut kerana rakyat bukan sahaja  terpaksa menanggung bebanan hidup yang tinggi atas pembaziran ketara  kerajaan negeri malah terpaksa menanggung risiko kemungkinan  tergelincirnya aqidah umat Islam disebabkan pembinaan tugu tersebut  andainya mengundang unsur-unsur pemujaan. -HD
