Tarikh : 23 September 2012
Lokasi : Hutan Rekreasi Tanjung Tuan
Catatan pada kali ini adalah kesinambungan daripada catatan Jejak Khazanah Tanjung Tuan: Siri 1 pada kunjungan 17 September 2012. Hendak dijadikan cerita, keluarga saya tertinggal sebondot (meminjam istilah yang sering disebut bonda) pakaian yang diasingkan untuk dicuci semasa bermalam di PNB Ilham Resort. Saya orang terakhir yang meninggalkan apartment penginapan…konon nak pastikan tiada barang ahli keluarga lain tertinggal. Dek sibuk memastikan semua ruang tiada barang yang tercicir atau tertinggal, rupa-rupanya terlepas pandang barang di kamar sendiri. Pasti ada hikmahnya di sebalik apa yang terjadi. Hanya kerana sebondot pakaian, saya perlu kembali ke Tanjung Tuan 6 hari kemudian.
Sebenarnya, selepas daripada kunjungan pertama, saya membuat telahan tentang kewujudan sebuah masjid lama di Tanjung Tuan. Saya hanya sekadar menduga-duga tentang keberadaan binaan yang dimaksudkan. Justeru, apabila menyedari beg plastik pakaian tertinggal, maka saya terus mengaitkan kecuaian tersebut sebagai penyebab untuk saya hadir semula menjejak kesan tinggalan binaan.
Bermulanya kisah tanggal 23 September…
Sebaik tiba jam 4.00 petang di PNB Ilham Resort, saya dan keluarga beristirehat seketika sementara menanti solat asar. Setelah menunaikan solat, maka bermulalah perjalanan memasuki Hutan Rekreasi Tanjung Tuan yang kedudukan gerbang utamanya kurang 100 meter dari jarak pintu masuk ke PNB Ilham Resort. Melangkah sahaja melewati gerbang utama hutan rekreasi, saya mengajukan pertanyaan kepada seorang petugas di pos pengawal tentang kemungkinan wujudnya sebuah binaan masjid tua. Saya difahamkan, terdapat sebuah pulau iaitu Pulau Masjid berdekatan dengan perigi lama. Di pulau tersebut pada suatu masa dahulu pernah berdiri sebuah masjid. Saya juga dimaklumkan, pada sebelah pagi hari yang sama, salah seorang krew TV3 dibawa seorang kakitangan PNB Ilham Resort menjejak Pulau Masjid. Maka, berita yang dikhabarkan kepada saya telah membenarkan telahan saya terhadap binaan masjid tua yang pernah berdiri sebelumnya di pesisir pantai Tanjung Tuan.
Diringkaskan para ke-3, maka perjalanan kali ke-2 pun bermula…
Sekitar jam 4.40, saya dan keluarga menapak semula melalui jalan yang pernah dilalui 6 hari sebelumnya. Dalam mencungap-cungap, singgah berteduh di bawah rimbunan pohon. Mendongak menikmati kehijauan sambil merakam foto dedaunan yang memayungi diri.
30 minit perjalanan dari gerbang masuk menuju ke hujung tanjung, akhirnya saya tiba di lokasi dahan berselirat ini yang kedudukannya berdepan dengan arah perigi tua.
Masih berada di lokasi sama, namun dahan dirakam dari penjuru berbeza.
Melangkah kira-kira 50 meter ke hadapan (jarak anggaran), ditemukan jalinan alam yang mengundang perhatian.
Apa sebenarnya agenda saya ke sini dan apa yang ingin dicari? Hajat utama menjejak tapak tinggalan masjid tua di Pulau Masjid. Jejak ke lokasi dimaksudkan berdasarkan info yang diperoleh daripada salah seorang petugas di pos pengawal. Lalu langkah diatur mengikuti pesanan yang disimpan dalam pita ingatan. Hanya saya seorang bergerak menuju ke lokasi ini manakala anak dan suami menanti kurang 500 meter dari tempat saya berdiri sebelum keduanya berpatah semula pulang ke PNB Ilham Resort. Saya masih meneruskan hajat untuk menjejak tapak binaan masjid tua. Saya tidak bersendirian, sebaliknya ditemani seorang siswi jurusan penyiaran dari sebuah IPTS yang hadir bersama bapanya di lokasi sama. Siswi (dalam foto, berbaju jalur melintang) dan ayahnya sedang bersiap sedia mengatur langkah bersama saya bagi mengharungi laluan tanaman bakau dan berbatu untuk menuju ke arah tapak binaan dipercayai pernah berdirinya masjid tua.
Hanya kawasan ini mempunyai longgokan batuan sedangkan kawasan pesisir di sepanjang pantai tidak sedemikian.
Longgokan batuan seakan pecahan runtuhan binaan. Saya tertanya-tanya adakah bongkahan ini yang dimaksudkan sebagai tinggalan tapak binaan masjid tua di Pulau Masjid? Hal demikian kerana, saya telah diberi gambaran awal sebelum memulakan perjalanan. Menurut apa yang disampaikan, saya difahamkan bahawa tapak binaan akan tenggelam jika air laut pasang. Berdasarkan pemerhatian, terdapat tanda air pasang pada tebing berdekatan yang mana arasnya air laut lebih tinggi daripada longgokan batuan. Pulau Masjid ini menurut maklumat yang diberikan, berada tidak jauh dari lokasi perigi tua. Berdasarkan panduan arah yang dikongsikan secara pertuturan lisan oleh petugas di pos pengawal, maka inilah lokasi yang selari seperti dimaksudkan.
Ada sebuah pulau lain yang dapat dilihat dari arah perigi tua, namun untuk pergi ke sana perlu menaiki bot sedangkan perjalanan ke Pulau Masjid menurut maklumat yang diperoleh boleh ditemukan dengan berjalan kaki. Namun jika air pasang, batuannya akan ditenggelami air laut.
Jika tadi saya berada di sekitar longgokan bongkah batuan, kini saya berpindah ke lokasi yang bertentangan arah agar khalayak pembaca dapat melihat lokasi dipercayai tapak masjid tua nun jauh di sana. Kedudukan lokasinya di hadapan batuan gergasi berwarna putih (tempat di mana saya rakamkan jalinan alam di awal catatan).
Sebelum melangkah pulang, saya bersama siswi berbangsa Serani yang ditemani bapanya di awal perjalanan tadi menelusuri pesisir pantai Tanjung Tuan. Seperti biasa, saya akan menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang berada di sekitar laluan. Bunga berkelopak 5 dalam susunan bertindihan dengan stigma kekuningan. Kelopak ini menggamit ingatan saya terhadap cagar alam di Tasik Bunian, Pulau Besar. Hal demikian kerana, kelopak bunga yang sama turut ditemukan berguguran di sepanjang pesisiran Tasik Bunian semasa siri kunjungan.
Cagar alam seterusnya~ Buah mengkuang laut di tepian pantai
Yang ini pula apa ceritanya? Spesis serangga iaitu seekor semut merah yang sedang mencari arah. Agak hairan memerhatikan haluan semut ini yang merayap-rayap menuju ke arah air laut. Beberapa kali saya kuis badannya dengan ranting dengan tujuan membawanya ke daratan semula setelah melihatnya terkapai-kapai di dalam air. Jam tangan sengaja saya letak berdekatan semut merah sebagai skala. Saiz semut ini sebesar muka jam tangan saya.
Maka, di sini berakhirnya pertemuan saya dengan kedua beranak tadi yang turut sama menyertai pencarian saya sebelum meneruskan perjalanan menjejak sebuah kuil lama yang kedudukannya berdekatan Rumah Api Tanjung Tuan. Sebelum masing-masing membawa haluan, sempat pula siswi tadi memohon keizinan, "Kak, boleh saya temubual tentang Hang Tuah?" Lalu saya sambut pertanyaan tersebut, "Saya bukan pakar sejarah…jika awak mahu tahu saya hanya boleh berkongsi tentang pengalaman saya menjejak khazanah Hang Tuah dalam siri kunjungan peribadi sebelum ini." Soalan yang paling saya nantikan akhirnya muncul jua, "Kakak percaya Hang Tuah wujud?" Lalu saya dengan penuh yakin berkata, "Ya, saya yakin Hang Tuah wujud" sambil menyambung celoteh yang secara spontan bertali arus keluar dari mulut. Bagai seekor burung bayan saya berkata-kata dengan lagak seperti membaca skrip di hadapan mata sambil siswi tersebut menghalakan lensa kamera videonya ke arah saya. Sebaik wawancara tamat, maka berpisahlah kami di simpang 3 sebelum mereka dua beranak meneruskan misi ke simpang kiri menuju ke arah Rumah Api bagi tujuan menjejak kuil lama manakala saya pula membelok ke simpang kanan pulang bersendirian menuju ke gerbang hutan rekreasi.
Maka berakhirlah sudah Jejak Khazanah Tanjung Tuan: Siri 2 … Akan saya tampilkan pula Jejak Khazanah Pulau Jerejak pada paparan seterusnya. Wassalam semua =)