MELAKA . – Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., memperuntukkan RM300 juta bagi mengembangkan sektor pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negeri ini untuk tahun fiskal semasa.
Presiden merangkap Pengarah Urusannya, Dr. Matthias Ludwig berkata, peningkatan produktiviti dan galakan inovasi secara berterusan di bidang pengeluaran dilihat perlu dalam persekitaran persaingan global masa kini bagi memperoleh manfaat mampan.
"Justeru, pelaburan terutamanya dalam menyediakan kemudahan R&D serta modal insan terus diberi keutamaan kerana ia amat penting bagi kejayaan jangka panjang Infineon Technologies di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pembangunan Infineon Technologies Melaka di Batu Berendam, di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian negeri, Sulaiman Md. Ali yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria, Duta Jerman ke Malaysia, Holger Micheal dan Naib Presiden Korporat Infineon Technologies, Ng Kok Tiong.
Jelas Ludwig, pusat pembangunan seluas 3,000 meter persegi bernilai RM20 juta itu merangkumi makmal pembangunan serta ruang pejabat yang mampu menempatkan sehingga 400 kakitangan R&D.
"Aktiviti R&D Infineon Technologies di negeri ini telah bermula sejak 2005 bagi meningkatkan penghasilan melalui pembangunan produk yang cekap, pemindahan produk serta perubahan teknologi.
"Infineon Melaka sehingga kini mempunyai kekuatan sebanyak 300 kakitangan R&D yang memberi fokus dalam penyelesaian pembungkusan litar bersepadu, pembangunan pakej kajian, pencirian produk baharu, kejuruteraan aplikasi dan teknologi ujian," ujarnya.
Sementara itu, Dr. Rebecca Fatima berkata, kementerian menerima baik sumbangan Infineon Technologies terhadap perkembangan pelaburan secara berterusan terutamanya dalam bidang teknologi tinggi.
"Oleh yang demikian, kerjasama antara agensi di bawah kementerian dengan Infineon akan terus diperkukuhkan bagi memastikan syarikat ini terus melabur serta memberi sumbangan terhadap pembangunan modal insan di negara ini," jelasnya.
Share on Facebook