ALOR GAJAH - Taktik seorang pondan mengangkat kain hingga ke paras peha untuk menggoda anggota penguat kuasa sebelum melarikan diri gagal apabila dia akhirnya berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi serbuan di Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat sini, awal pagi semalam.
Tangkapan itu dilakukan susulan tinjauan dan rondaan yang dijalankan anggota penguat kuasaan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bermula jam 10.30 malam, kelmarin bersama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sebelum menemui suspek dalam sebuah bilik kecil kira-kira 2.15 pagi, semalam.
Operasi yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaim, Zurul Iman Zakaria bersama 16 anggotanya dibantu sepasukan anggota bahagian penguat kuasa MPAG diketuai Setiausaha MPAG, Shadan Othman mendapati lokasi terbabit menjadi 'port' golongan pondan dan lelaki normal dari luar melampiaskan nafsu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, semasa operasi, suspek yang berada dalam bilik itu seorang diri sedang berbaring di atas sebuah tilam nipis tidak menyahut panggilan anggota yang mengetuk pintu bilik berkenaan.
Menurutnya, kemudian pihaknya cuba meninjau dari tingkap jaring di tepi bilik kecil itu dan mendapati suspek sedang berbaring dengan hanya berpakaian kain batik serta baju singlet wanita.
"Ketika itu, dia hanya berdiam diri walaupun sedar kehadiran kami, namun enggan memberi kerjasama.
"Kira-kira 15 minit selepas itu, anggota meminta suspek keluar, namun enggan hingga memaksa kami memecahkan pintu bilik yang dibina daripada papan nipis," katanya.
Suspek lari, bersembunyi
Rahimin berkata, namun cubaan itu gagal kerana pintu berkenaan berkunci dari dalam dan anggota cuba masuk melalui bahagian yang pecah.
"Sebaik anggota berjaya memasuki bilik ini, suspek keluar dan diperiksa. Namun secara perlahan-lahan suspek menyelak kain batik yang dipakai sehingga ke paras peha sebelum melarikan diri dengan meredah zink karat dan timbunan sampah yang terdapat di tepi bilik kecil itu.
"Kemudian suspek cuba melarikan diri ke arah kawasan rumah penduduk kira-kira 300 meter dari bilik berkenaan dan menyembunyikan diri di belakang sebatang pokok pisang sebelum masuk ke bawah pangkin rumah penduduk dalam keadaan kain batik yang dipakainya sudah hampir tercabut," katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun selepas anggota MPAG mengepung kawasan sekitar, suspek berjaya ditangkap walaupun dia meronta-ronta dan cuba melawan.
"Dipercayai tempat ini sudah lama dijadikan 'port' golongan berkenaan untuk melepaskan nafsu serakah termasuk warga emas," katanya.
Katanya, difahamkan ada lagi beberapa pondan yang menjadikan bilik itu sebagai persinggahan berikutan penemuan timbunan pakaian wanita di atas rak.
"Terima kasih kepada media dan orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung gejala tidak bermoral ini sehingga tangkapan berjaya dilaksanakan.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 72 atas kesalahan syariah Jabatan Agama Islam Melaka 1991 lelaki berlagak seperti wanita," katanya.
Kawasan panas akan dibersihkan
Sementara itu, Shadan Othman berkata, pihaknya akan membersihkan keseluruhan tempat itu selepas mendapat pengesahan bahawa lokasi panas berkenaan adalah tanah rezab kerajaan.
Menurutnya, dipercayai golongan berkenaan hanya menggunakan pelita untuk melampiaskan nafsu dan melayan pelanggan mereka.
"Hasil tinjauan mendapati kawasan ini gelap dan pihak kami akan mengambil tindakan dalam masa terdekat untuk merobohkan bilik kecil ini.
"Malah memasang lampu awam supaya aktiviti berkenaan tidak lagi berulang selain pemantauan akan terus dijalankan," katanya.
Katanya, difahamkan aktiviti ini sudah dijalankan sejak dua tahun lalu.
Dalam tinjauan pada malam itu, pihak MPAG turut menjalankan pemeriksaan ke atas tiga kedai makan yang menyediakan hiburan karaoke di jalan baru Tanjung Bidara-Solok Duku, Taman Rekreasi Bukit Beringin dan di kawasan perindustrian Londang.
Namun mendapati kesemuanya mempunyai lesen yang disahkan MPAG.