MELAKA: Sebanyak 388 unit rumah mampu milik bakal dibina di atas tanah berkeluasan 12.1 hektar di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah bagi meningkatkan akses pemilikan rumah rakyat di negeri itu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata rumah teres yang dimajukan oleh syarikat Mega 3 Housing Sdn Bhd (Mega 3) dengan usahasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu berkeluasan 1,000 kaki persegi setiap satu serta mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Beliau berkata setiap unit rumah dijual dengan harga antara RM120,000 hingga RM148,000.
"Melaka pada masa ini dibanjiri dengan projek perumahan mewah dan kerajaan negeri mahu mengimbanginya dengan projek perumahan mampu milik," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Mega 3 dan LPM bagi pembinaan rumah mampu milik berkenaan.
Mega 3 diwakili Pengarah Urusan Tan Suan Ching manakala LPM diwakili Pengarah Eksekutifnya Saleh Md Dom.
Projek tersebut dijangka bermula pada pertengahan tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang 2016.
Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri melalui LPM menyasar mewujudkan 10,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2015. — Bernama
We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the
Commenting Rules.