MELAKA 24 Jan. - UMNO Bahagian Masjid Tanah akan mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) membabitkan semua peringkat kepemimpinannya sebagai mekanisme pemantauan serta penilaian dalam usaha memastikan setiap tanggungjawab, amanat dan mandat dapat memenuhi keperluan rakyat di daerah itu.
Ketuanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh (gambar) berkata, pelaksanaan KPI itu sejajar dengan saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin melihat parti itu diterima oleh semua lapisan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
''KPI ini adalah untuk semua ahli jawatankuasa, biro-biro hingga kepada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri melaksanakan pelbagai program untuk merakyatkan UMNO.
''Kita merancang untuk turun padang mendekati rakyat bagi mengetahui masalah mereka dan menyelesaikannya yang sekali gus dapat membantu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Masjid Tanah.
''Kita ingin mendengar suara hati akar umbi yang sebelum ini mereka merasakan disisih dan kali ini KPI yang akan dilancarkan ini menjadi penentu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ab. Rauf berkata, program KPI UMNO bahagian itu akan dilancarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sempena Karnival UMNO Masjid Tanah di Pusat Transformasi Luar Bandar, Kuala Linggi esok.
Menurutnya, usaha tersebut bertujuan memastikan setiap program dilaksanakan oleh biro dapat berperanan mendekatkan masyarakat dengan parti itu hingga ke akar umbi.
Jelas beliau, KPI yang akan dilancarkan itu juga bakal menjadi pendorong agar semua kepemimpinan peringkat bahagian hingga cawangan dapat menjalankan amanah khususnya menyelesaikan sebarang masalah rakyat.
''Ini adalah sebagai langkah awal persiapan UMNO Masjid Tanah menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di samping menambah keahlian parti dan mendaftar 12,288 pengundi baharu dalam tempoh empat tahun," katanya.
Menurut beliau, Karnival UMNO Bahagian Masjid Tanah yang bermula esok di RTC Kuala Linggi adalah langkah awal merakyatkan UMNO dalam kalangan masyarakat di Parlimen Masjid Tanah.
Pelbagai acara menarik diatur sempena karnival tersebut antaranya ialah pameran oleh Biro Latihan dengan kerjasama Biro Tata Negara, pameran kerjaya Akademi Laut Malaysia (ALAM), permohonan Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN) dan pemeriksaan kesihatan.
Di samping itu, turut diadakan adalah gerai-gerai menjualkan produk usahawan bumiputra, pertandingan karaoke, street soccer, pameran antidadah, pameran Polis Diraja Malaysia (PDRM), seminar teknologi maklumat dan komunikasi dan sebagainya.
Ab. Rauf berharap seluruh masyarakat di Masjid Tanah dapat datang beramai-ramai ke RTC Kuala Linggi bagi memeriahkan karnival tersebut yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 8.30 malam.