EMPAT jurugambar wanita ini mengetengahkan hasil terbaik mereka dalam meluahkan idea kreatif masing-masing semasa mengambil gambar setiap pementasan dalam kempen Women: 100 yang berlangsung baru-baru ini.
Naomi Aw, Evelyn Lam Lip Lin, Visithra Manikam dan Sharon Lam yang dipilih oleh Kakiseni berasa cukup bertuah apabila diberi peluang untuk merakamkan detik suka dan duka dalam setiap pementasan berkenaan.
Sewaktu kempen Women: 100, Evelyn Lam, 36, diberi tugasan mengambil gambar pementasan teater A Modern Woman Called Ang Tau Mui.
Ia mengisahkan peminat yang sangat meminati aktres Lin Dai. Impiannya ingin menjadi seperti Lin Dai dan sering mengirimkan surat walaupun selepas aktres itu membunuh diri.
Dalam pementasan itu, peminat aktres berkenaan banyak mempelajari aksi berlakon dan sekali-sekala membawa dirinya ke dalam filem Lin Dai dan menganggap dirinya turut beraksi dengannya.
Teater ini diarahkan oleh seorang pengarah yang mendapat ilham daripada nukilan surat Ang Tau Mui kepada Lin Dai.
"Saya sangat bertuah dan gembira untuk berkongsi dengan orang ramai bagaimana dapat meluahkan perasaan melalui gambar yang diambil.
"Selain itu, ia tidak lari daripada matlamat kempen ini yang mengetengahkan pelbagai kisah bagi menghargai wanita," katanya yang nyata sangat seronok apabila mengetahui dirinya dipilih untuk menjadi jurugambar bagi kempen Women: 100.
Dia sentiasa memastikan hasil kerjanya dapat merakam kenangan yang boleh diingati oleh pelanggannya untuk dikongsi sehingga berabad lamanya termasuk mengabadikan gambar menjadi album.
Evelyn tidak pernah mengetahui dirinya akan menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan dan potret walaupun memang berminat mengambil gambar sejak remaja lagi.
Mengambil jurusan perniagaan ketika di universiti dan bekerja dengan pelbagai industri tidak memberikan kepuasan kepada dirinya sehingga dia menceburkan diri dalam bidang fotografi pada 2008.
Bersama rakan kongsi, Peter Tan dan dibantu enam jurugambar lain, mereka secara berpasukan kini boleh berbangga dengan hasilnya.
Antara gambar yang pernah diambil selain perkahwinan dan potret ialah persembahan pentas artis antarabangsa misalnya Patrizio Buanne dan Jason Derulo serta persembahan budaya seperti Minggu Tahunan Venezuela yang dianjurkan kedutaan negara terbabit.
Pada April 2010, Evelyn dianugerahkan sarjana dalam bidang fotografi oleh Persatuan Jurugambar Master United Kingdom dan mendapati dirinya jurugambar perempuan pertama menerima akreditasi berkenaan di Malaysia pada masa itu.
Visithra Manikam, 31, pula mengakui tidak sukar untuk mengambil gambar tarian Women Deliberation Dance kerana dia mempunyai pengalaman dalam penghasilan gambar berkaitan tarian dan budaya.
Dia turut mengambil gambar bagi persembahan Sex Money Scandal The Girlie Show.
Dalam pementasan itu, Ribena Berry menyentuh mengenai bahaya memiliki tubuh yang mengundang skandal dan Puan Minah Tudong Periok dari Kementerian Los dan Found menceritakan karipap yang lesap.
"Walaupun gemar mengambil gambar berkaitan seni tarian, saya tidak kekok untuk mengambil gambar pada kempen ini kerana ia sebagai cara untuk menimba lebih banyak ilmu fotografi," katanya.
Menurutnya, pegangan setiap orang yang diambil gambar bahawa mereka mesti nampak cantik sering dijadikan sebagai asas untuk dia mengambil gambar.
"Gambar yang diambil juga biasanya nampak lebih feminin selain memberikan kepuasan kepada yang melihatnya.
"Saya sangat gembira bekerjasama bagi menjayakan kempen ini apatah lagi ia memberi kebebasan dalam mencurahkan idea," katanya yang pernah membuat pameran solonya pada 2009 dan secara berkumpulan pada 2010.
Naomi Aw Shui Ching pula bertanggungjawab untuk mengambil gambar bagi persembahan Women on Top yang mempamerkan lapan tarian direka oleh pereka tari Joseph Gonzales, Shafirul Azmi Suhaimi, Aris Kadir dan Kumpulan Penari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
Tema persembahan ini mencerminkan kehidupan wanita pelbagai sudut dan menyerlahkan raut wajah wanita yang diperlihatkan dalam beraneka gerak lincah tarian kontemporari.
Kumpulan ini juga mementaskan semula beberapa karya tari berpengaruh besar dalam tarian kontemporari Malaysia bagi menggambarkan isu yang membelenggu bukan saja wanita di Malaysia tetapi di merata dunia.
Naomi turut mengambil gambar teater Abuse yang mengisahkan perkara sedih, ngeri dan menjijikkan berkaitan penganiayaan yang berlaku pada manusia juga haiwan.
Cerita yang dikongsi kebanyakannya adalah kisah benar yang diluahkan oleh mereka yang mengetahui perkara itu menerusi paparan yang menyayat hati.
Naomi menganggap dirinya bertuah kerana diberi peluang untuk merasai pengalaman dalam seni itu melalui lensa kamera, malah ia memberi tunjuk ajar kepada dirinya sendiri bagi membolehkannya menghasilkan karya yang mampu menyentuh hati.
Dia yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang seni halus daripada Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2006, mula mengorak langkah dalam bidang fotografi apabila membuat keputusan mengambil sijil fotografi digital di Universiti Saima, Finland.
Sharon Lam yang berkecimpung dalam dunia fotografi selama lapan tahun sememangnya tidak kekok ketika diminta mengambil gambar teater Butterfly Lovers dan Shelah's Drag Army.
Butterfly Lovers adalah kisah cinta dari China pada abad ke-17 mengisahkan cinta terlarang sepasang kekasih Liang Shan Bo dan Zhu Ying Tai. Kisah cinta mereka juga dipadankan dengan versi timur Romeo dan Juliet atau versi Melayu Uda dan Dara.
Bagi persembahan Shelah's Drag Army, Sharon merakamkan kisah perjalanan hidup, dugaan dan kesengsaraan wanita yang diceritakan melalui matanya yang cantik bersama rakan yang lucu.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan