Jumaat, 3 Jun 2011

04 di tanjung kling - Google Blog Search

04 di tanjung kling - Google Blog Search


<b>di</b> sini tintaku tumpah: Melaka Memang Cantik

Posted: 30 Jun 2009 12:00 AM PDT

SETELAH sekian lama tidak keluar bercuti dari Selangor - yang penuh sesak dengan jalan-jalan berlubang dan sudah kurang serinya lagi, saya mengambil keputusan bercuti ke Melaka beberapa minggu yang lalu. Ke Melaka dengan memandu secara santai hanya memakan masa kira-kira dua jam setengah saja. Tidaklah hebat sangat mengambil keputusan bercuti bersama keluarga ke negeri itu. Kali terakhir saya ke Melaka ialah kira-kira empat tahun yang lalu. Apa istimewanya Melaka? Sekali imbas tiada istimewa apa pun - asyik-asyik Kota A'Farmosa, panjat Bukit St. Paul dan berjalan ke bangunan rumah kedai bercat merah di Jonker Walk menghala ke The Stadthuys. Di tepinya ialah Sungai Melaka yang mengalir lesu dan berbau tengik. Di sepanjang sungai itu berderetan bontot kedai-kedai lama Cina yang hodoh, kotor dan tiada apa yang istimewa pun.

Pada petang Jumaat, saya bertolak dari rumah saya di Banting, saya mengambil lebuh raya PLUS, susur keluar di Nilai/Pajam dan memasuki susur masuk ke tol Alor Gajah. Sampai di bandar Alor Gajah pada kira-kira pukul 8 malam, saya teruja melihat bangunan rumah kedai di pekan tersebut dipasang dengan jaluran lampu yang mengikuti bentuk bangunan itu. Pokok-pokok di tepi-tepi jalanan diselaputi neon-neon. Terdetik di hati, cantiknya. Pertama kali saya sampai ke situ pada waktu malam.

Sungai Melaka menggamit kehadiran pelancong

Sampai di Tanjung Kling, saya daftar masuk ke sebuah pusat peranginan menghadap Selat Melaka di Pantai Klebang dan bermulalah percutian saya di negeri Hang Tuah yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masehi dulu. Melaka bagi saya bukan seperti empat tahun lalu. Ia sudah berubah. Tergerak di hati saya untuk menulis di blog ini kerana Melaka telah berubah. Ia berubah 360 darjah daripada beberapa tahun lalu. Nampaknya semua orang buat kerja - kerja keras. Dari atas sampai ke bawah, dari orang atasan sampai ke orang bawahan semuanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka. Orang Melaka sangat berbangga dengan negeri mereka. Kampung-kampungnya tersusun rapi dan tiada semak-samun dan belukar yang menyakitkan mata seperti di negeri-negeri lain. Terus terang saya katakan Melaka lain dari negeri-negeri lain. Semuanya tersusun. Layak saya takrifkan, Melaka ialah negeri termaju dalam lingkungan negeri-negeri di Malaysia yang masih lagi ketinggalan. Tidak hairanlah Melaka berani meletakkan motonya sebagai Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia.

Pada tahun 2008 Melaka diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage). Negeri Melaka juga diisytiharkan sebagai 'Melaka Maju' pada 20 Oktober 2010 pada jam 20.0 di Stadium Hang Jebat yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia langsung dari Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur. Melaka juga dinyatakan sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau.

Bandaraya Bersejarah Melaka juga berkembar dengan lima buah bandar terkemuka yang lain iaitu Lisbon, Portugal (16 Januari 1984), Kuala Lumpur, Malaysia (15 April 1989), Hoorn, Belanda (8 November 1989), Valparaiso, Republik Chile (24 Jun 1991) dan Nanjing, China (2001).

Antara bangunan bersejarah di Melaka

Sejarah kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang, yang memerintah pada tahun 1400hingga 1424. Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka. Kesultanan ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihakPortugis pada tahun 1511.

Empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, dan terdiri daripada Tanah Melayu, (kini, Semenanjung Malaysia), Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan (pulau Jawa). Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, lahirlah nama-nama besar seperti Tun Perak, Hang Tuah lima bersaudara yang merupakan pahlawan besar ketika itu.

Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Kesultanan Melaka, merupakan mangsa keadaan disebabkan Portugal pada awal abad ke-16 sedang meluaskan kuasanya ke luar negara bagi merealisasikan impiannya iaitu 3K (Keagamaan, Kekuasaan, Kekayaan). Melaka dikuasai oleh pihak Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Ia menjadi suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur dan diperintah oleh mereka selama 130 tahun.

Istana sultan Melaka

Pada tahun 1641, pihak Belanda menguasai Melaka dengan menewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka. Mereka menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perikatan British-Belanda pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Kemudian, pada tahun 1946, ia menjadi salah satu Negeri Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang telah menjadi sebahagian daripada Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia pada tahun 1963.

Sektor pelancongan dan pembuatan adalah sektor utama dalam menjana ekonomi negeri. Melaka telah mengamalkan slogan 'Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia'. Melaka kaya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah. Melaka juga terkenal untuk makanan, terutamanya gaya masakan Baba dan Nyonya yang terdirinya daripada gaya masakan Cina dan Melayu. Kebanyakan hidangannya adalah pedas dan berempah.

Sehingga hari kini, kebanyak adat-adat kuno yang berasal daripada penduduk Portugis masih diamalkan, termasuknya 'Intrudu' (sejenis perayaan air yang menandakan permulaan musim Lent, iaith musim puasa bagi orang Katolik), 'branyu' (sejenis tarian tradisional) dan 'santa cruz' (sejenis perayaan jalan tahunan)

Sungai Melaka pada waktu malam

Selain daripada pelancongan, Melaka juga menjadi pusat pengeluaran barangan tempatan daripada makanan dan barangan konsumer kepada barangan komponen-komponen senjata dan automotif berteknologi tinggi, elektronik serta komponen-komponen komputer. Terdapatnya sekurang-kurang 23 kawasan perindustrian yang merangkumi lebih kurang 500 kilang Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Taiwan dan Singapura. Perkhidmatan perubatan swasta di Melaka semakin dicari oleh pesakit-pesakit sejauh Indonesia dan Singapura. Hospital Straits, Hospital Putra (dulu dikenali sabagai Hospital Southern), Hospital Melaka dan Pusat Perubatan Pakar Pantai merupakan pusat perubatan swasta yang amat popular. Mereka menyediakan perkhidmatan perubatan yang setaraf dengan kebanyakan negara maju yang lain. Kerajaan Negeri Melaka ialah pemegang saham utama Hospital Putra.

Sepanjang jalan di Melaka dari Alor Gajah hingga ke Banda Hilir dan ke Air Keroh saya kagum melihat tiada sampah sarap bersepah yang menyakitkan mata, atau jalan-jalan berlubang yang banyak di Selangor. Tiada tanda-tanda jalan yang mengelirukan. Semuanya sempurna. Pada malam Sabtu, buat pertama kalinya saya menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot dari jeti di Dataran Quayside. Kawasan itu telah melalui transformasi yang amat menakjubkan. Gudang-gudang lama di situ telah diubah moden. Kesan-kesan kota lama yang diekskavasi dipelihara dengan baik.

Terpesona saya menyusuri sungai yang mengambil masa pergi balik selama 45 minit. Saya berasa seperti bukan berada di Malaysia, tapi di mana-mana di negara maju lain. Lampu-lampu berwarna-warni diperkayakan di sepanjang perjalanan itu. Sampai di satu tempat bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut menari di tepi tebing sungai itu. Terlalu unik melihat rumah-rumah Melayu dihiasi cahaya lampu, yang bilnya ditanggung oleh kerajaan. Bagi saya apa yang dilakukan ini bukan membazir, tapi dibayar balik oleh pendapatan industri pelancongannya yang hebat.

Tinggalan penjajah Belanda

Pulau Sebang yang terletak 30 kilometer ke utara Bandaraya Melaka dan 10 kilometer dari Bandar Alor Gajah merupakan stesen keretapi yang terdekat bagi Bandaraya Melaka. Dahulu stesen keretapi ini dikenali Tampin oleh sebab kedudukan dari segi geografinya berada di wilayah Negeri Melaka dalam daerah Alor Gajah dan arahan Kerajaan Negeri Melaka serta saranan rakyat Melaka maka nama stesen ini dikenali sebagai Stesen KTM Pulau Sebang.Sebuah lagi stesen keretapi dalam daerah Alor Gajah stesen Tebong tetapi tren antara bandar tidak berhenti di stesen ini. Walau bagaimanapun stesen ini turut dinaiktaraf berikutan pembinaan landasan berkembar antara Seremban ke Gemas yang turut melalui stesen ini. Bagi penduduk di daerah Jasin terutamanya di kawasan Selandar,Asahan (dahulunya Bukit Asahan), Simpang Bekoh, Nyalas boleh menggunakan perkhidmatan keretapi di stesen keretapi Batang Melaka yang terletak 22 kilometer ke utara Bandar Jasin. Stesen ini bersempadankan Melaka dan Negeri Sembilan.

Projek landasan keretapi berkembar elektrik antara Seremban dan Gemas akan berlakunya perpindahan stesen Pulau Sebang dan Batang Melaka. Stesen KTMB Pulau Sebang yang baru akan dipindahkan kira-kira 300 meter ke arah selatan stesen sekarang dan dilengkapi dengan perhentian bas dan teksi. Apabila siapnya kelak kemungkinan akan dinamakan Pulau Sebang Sentral. Manakala stesen Batang Melaka akan dipindahkan beberapa meter sahaja ke arah utara dari stesen sekarang supaya stesen yang baru itu terletak dalam Negeri Melaka. Pernah adanya landasan keretapi dari Pulau Sebang ke Bandaraya Melaka sebelum Perang Dunia Kedua, tetapi ia telah dibuka oleh tentera Jepun untuk pembinaan Landasan Keretapi Maut di Burma dan tidak pernah dibina semula selepas peperangan walaupun bekasnya masih tertinggal. Pihak KTMB sedang menjalankan kajian yang serius atas permintaan Kerajaan Negeri Melaka untuk membuka semula laluan keretapi dari Tampin/Pulau Sebang ke Bandaraya Melaka melalui program landasan berkembar elektrik. Pada dasarnya pihak KTM bersetuju untuk membina landasan keretapi elektrik ke Melaka sehingga Batu Berendam sahaja. Laluannya dari Pulau Sebang melalui Kampung Arongan, Tanjung Rimau, Gadek, Seri Pengkalan, Alor Gajah, Melaka Pindah, Durian Tunggal, Kg. Gangsa dan berakhir di Batu Berendam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Bijak merobah sebatang sungai yang tengik menjadi nadi pelancongan air seperti Kota Venice di Itali

Kerajaan negeri Melaka lebih tertarik jika landasan ini dapat dipanjangkan sehingga Melaka Sentral. KTM tidak mempunyai masalah untuk memanjangkan landasan ke Melaka Sentral sejauh 5 kilometer lagi dari Batu Berendam asalkan pihak kerajaan negeri dapat menyelesai isu pengambilan tanah yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi antara Batu Berendam ke Melaka sentral, sistem jalan raya yang sedia ada perlu diubah suai. Laluan antara Tampin/Pulau Sebang ke Batu Berendam tidak menghadapi masalah kerana tanah-tanah itu merupakan tanah rizeb KTM dan penduduk sepanjang bekas laluan keretapi itu tahu status tanah yang didudukinya itu merupakan Tanah TOL. Projek ini jika diluluskan kerajaan pusat akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kerja-kerja mengukur tanah bekas jalan keretapi lama antara Pulau Sebang dan Bandaraya Melaka sudah dilakukan oleh Pejabat Tanah Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Bandaraya Melaka mempunyai sebuah Terminal Pengangkutan antara bandar yang moden yang dikenali Melaka Sentral dengan perkhidmatan pengangkutan yang tetap ke Kuala Lumpur, Johor Bahrudan lain-lain bandar-bandar utama di Semenanjug Malaysia.Melaka Sentral merupakan sistem pengangkutan bas dan teksi yang tercanggih di Malaysia hari ini. Tiada perhentian bas dan teksi di mana-mana bandar utama di Malaysia selain Melaka Sentral. Melaka juga mempunyai sebuah lapangan terbang di Batu Berendam yang melayankan penerbangan carter dari kawasan sekitar.Lapangan Terbang Batu Berendam dalam proses naik taraf dijangka siap pada tahun 2009. Apabila siap kelak peswat yang lebih besar seperti Boeing 737 boleh mendarat di lapangan terbang ini. Jalan keluar Ayer Keroh di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) merupakan jalan masuk utama ke Melaka. Terdapatnya juga dua jalan keluar tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu di jalan keluarAlor Gajah dan Jasin.

Beca - antara objek pelancongan yang bernilai

Pak Hassan, pemandu bot kami bercerita mengenai kisah-kisah bangunan lama dan beliau mengimbau kami ke zaman silam Melaka yang terlalu kaya sejarahnya. Dari pokok Melaka di tepi sungai kepada projek membawa roda feri Eye of Malaysia dari Taman Tasik Titiwangsa, Menara Taming Sari yang menjadi tarikan terbaru hinggalah kepada pokok bakau yang dipelihara, yang pada siang harinya kita boleh melihat biawak makan - makanan yang turut dibiayai oleh kerajaan negeri.

Pak Hassan yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong, sambil memandu bot pelancong ala di Sungai St. Antonio, Amerika Syarikat itu bercerita bagaimana kerajaan negeri akan mengubah bahagian belakang bangunan rumah kedai itu menjadi bahagian hadapan menghadap ke muka sungai. Di tepi sungai itu akan dijadikan pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Tiang-tiang untuk projek monorel telah pun dibina. Kampung Jawa, katanya yang kelihatan usang akan diambil alih dan dimajukan oleh saudagar dari Arab.

Membandingkan empat tahun lalu dengan apa yang ada hari ini, saya percaya semua kata-kata Pak Hassan itu. Apa yang beliau katakan itu akan menjadi kenyataan. Beliau juga tidak lokek apabila membawa kami hingga ke kunci air yang dibina, bagi menunjukkan bagaimana sungai itu sentiasa dipenuhi air walaupun pada waktu air surut. Sebahagian daripada sungai itu ialah buatan manusia. Pada satu-satu masa, paras air sungai ialah pada ketinggian 14 kaki, cukup tinggi untuk aktiviti pelancongan air yang aktif dijalankan di sungai tersebut. Di tebing sungai seberang dari jeti Quayside, projek pembinaan hotel lima bintang sedang rancak dijalankan.

Terlalu bernilai cerita-cerita yang disampaikan oleh Pak Hassan, pesara kakitangan Jabatan Perikanan Klang itu. Perjalanan menyusuri sungai itu terlalu berbaloi dengan harga tambang RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Letih tapi seronok, hari ini saja saya dah bawa lebih 15 trip, katanya puas.

Bas yang membawa pelancong mengitari kawasan bersejarah

Keesokan hari (Ahad) sebelum pulang ke Banting kami sekali lagi singgah di Banda Hilir dan melawat beberapa tempat lazim di situ. Ternyata semuanya amat memuaskan. Bersih sungguh. Tindakan kerajaan Melaka membangunkan Dataran Pahlawan, misalnya amat bijak sekali. Di atasnya ialah padang yang bersejarah itu, di bawah ialah bazar dan mall perniagaan. Perlu direkodkan di sini, hanya dua perkara yang sedikit menghampakan. Pertama, kesesakan trafik di tengah bandar raya. Dan kedua, harga makanan di restoran kampung Melayu yang terlalu 'mencekik darah' - walaupun asam pedasnya memang sedap.

Selain itu, ternyata pentadbiran Melaka telah berjaya mengubah negeri bersejarah itu menjadi pusat tarikan pelancongan yang berjaya. Pembangunan Melaka yang asalnya dimulakan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini dirancakkan oleh ketua menteri yang kreatif dan inovatif, Datuk Ali Rustam.

Naik beca berkeliling kawasan bersejarah

Kita nak syorkan kepada para pentadbir negeri, perancang bandar yang terlalu kerap ke luar negara untuk melihat negara orang, melakukan lawatan sambil belajar ke Melaka. Contohilah pengurusan taman dan sampahnya yang dilihat terlalu tersusun. Perancangan infrastruktur pelancongannya yang begitu sistematik. Jika Melaka boleh mengapa Kuala Lumpur tidak boleh? Mengapa Sungai Klang dibiarkan lesu dan kotor sedangkan ia boleh dijadikan laluan river cruise dari KL ke bandar diraja Klang; sama seperti yang berlaku di Sungai Melaka? Mengapa Padang Kota Lama di Pulau Pinang terlalu membosankan - dengan gerai mee sotong di tepinya masih daif sama seperti puluhan tahun lalu? Mengapa Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu yang diberi nama Bandar Raya Islam terlalu kotor dengan tikus-tikus mondok yang menjijikkan?

Melaka tidak cainnotophobia (disebut: kain no to fobia). Pemimpinnya tidak takut atau fobia kepada pembaharuan atau tidak takut mencipta sesuatu yang baru. Tidak perlu menamakan ia sebagai Islam atau tidak, ataupun ditadbir oleh seorang ulama atau tidak. Ia semuanya datang dari seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan mahu melihat kecantikan untuk membangunkan negerinya. Walaupun Melaka sebuah negeri kecil, tapi hati orangnya waja. Syabas Melaka!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads