04 di tanjung bidara - Google Blog Search |
Malaysia Zoom » Bunga api buluh penyeri majlis Posted: 22 Aug 2011 04:03 PM PDT MELAKA 22 Ogos – Tanpa pertunjukan bunga api, sambutan Hari Kemerdekaan, tahun baru atau pun majlis keraian besar yang lain pasti akan kurang serinya. Malah, tembakan bunga api yang berwarna-warni ke udara itu menjadi acara kemuncak sesuatu perayaan yang sudah semestinya ditunggu-tunggu oleh orang ramai dan tidak keterlaluan jika dikatakan bunga api merupakan pelengkap bagi sesuatu majlis. Apatah lagi, jika majlis atau perayaan itu disambut oleh semua lapisan masyarakat seperti sambutan tahun baru atau Hari Kebangsaan, pasti ada yang berasa kecewa jika tiada pertunjukan bunga api sebagai simbol kemuncak sambutan berkenaan. Jika dilihat dari sudut sejarah, negara China antara yang terawal mencipta bunga api iaitu kira-kira 2,000 tahun dahulu. Negara berkenaan juga sering melakukan revolusi terhadap bunga api yang asas sehinggalah yang mampu mengeluarkan percikan api berwarna-warni. Mungkin atas sebab inilah yang mendorong Ismail Jantan, 43, menceburkan diri dalam pembuatan bunga api secara tradisional iaitu dengan menggunakan buluh sebagai alat utama. Biarpun percikan apinya tidaklah segah bunga api buatan China yang berharga ribuan ringgit yang sering dipancarkan di ibu negara menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan, namun Ismail tetap berbangga dengan kebolehannya. Bunga api buatannya bukan sahaja dikenali di sekitar kampung halamannya di Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini malah turut mendapat tempahan dari Negeri Sembilan dan Johor. Kini, bunga apinya telah menjadi satu kemestian dan sebagai pelengkap serta penyeri kepada majlis perkahwinan dan majlis keraian lain di sekitar Tanjung Bidara. Menurut Ismail, dia mempelajari cara membuat bunga api buluh daripada bapanya yang diwarisi turun-temurun daripada datuknya dan dia merupakan generasi ketiga memperjuangkan seni pembuatan bunga api buluh secara tradisional. "Kalau di sekitar sini (Tanjung Bidara), boleh dikatakan setiap majlis perkahwinan sejak bertahun dulu akan diserikan dengan pertunjukan bunga api buluh yang saya buat. "Walaupun tidak berwarna-warni, tetapi cukup sekadar menaikkan seri majlis dan juga sebagai hiburan kepada yang hadir dan juga pasangan pengantin," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini. Beliau berkata, dia turut menerima banyak tempahan bunga api buluh pada bulan Ramadan ini dan dijangka meningkat menjelang Aidilfitri. Katanya, selain majlis perkahwinan, bunga apinya turut dimainkan di majlis seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan sambutan tahun baru di peringkat kampung. "Bulan puasa ini tidak menang tangan menyiapkan bunga api yang ditempah yang mencapai lebih 15 biji sehari kerana bulan ini (Ogos) ada tiga perayaan itu Ramadan, Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan," katanya. Ismail berkata, proses pembuatan bunga api secara tradisional tidak rumit namun aspek keselamatan perlu dititikberatkan kerana ia melibatkan bahan bakar seperti belerang. Katanya, pernah terjadi satu kemalangan kecil di rumahnya apabila serbuk belerang yang sedang dimampatkan di dalam buluh tiba-tiba terbakar dan akibat dari kejadian itu dia terpaksa memindahkan 'makmal' pembuatan bunga apinya jauh sedikit dari rumah. Beliau berkata, terdapat empat bahan penting dalam membuat bunga api tradisional iaitu buluh, belerang, serbuk besi dan tanah yang digunakan untuk memampatkan belerang di dalam buluh. Tambahnya, buluh yang digunakan perlulah tebal bagi mengelak daripada pecah semasa bunga api dinyalakan dan menjadi kemestian bagi kanak-kanak mendapat pengawasan sepenuhnya daripada orang dewasa agar kejadian tidak diingini dapat dielakkan. Menurut Ismail, bagi sebatang buluh, dia mampu menghasilkan kira-kira 6 hingga 10 bunga api bergantung pada panjangnya dan setiap satu bunga api dijual dengan harga RM15. Bunga api buatan Ismail juga turut mendapat perhatian daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semasa program Jejak Inovasi berlangsung di Melaka bulan lalu. Ciptaan Ismail turut tersenarai dalam ciptaan yang berpotensi untuk dikomersialkan selepas beberapa kajian mengenai cara pembuatan, keselamatan dan undang-undang dijalankan oleh agensi terlibat. Ismail berkata, dia sudi untuk berkongsi ilmu pembuatan bunga api buluh dengan ke rumahnya di Batu 23 ½, Lorong Haji Karim, Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini. Dipetik dari Utusan Malaysia |
You are subscribed to email updates from di tanjung bidara - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan