04 di tanjung tuan - Google Blog Search |
Jejak Khazanah <b>Tanjung Tuan</b>: Siri 2 « Jejak Mihrab & Mimbar Posted: 24 Oct 2012 11:40 AM PDT Tarikh : 23 September 2012 Catatan pada kali ini adalah kesinambungan daripada catatan Jejak Khazanah Tanjung Tuan: Siri 1 pada kunjungan 17 September 2012. Hendak dijadikan cerita, keluarga saya tertinggal sebondot (meminjam istilah yang sering disebut bonda) pakaian yang diasingkan untuk dicuci semasa bermalam di PNB Ilham Resort. Saya orang terakhir yang meninggalkan apartment penginapan…konon nak pastikan tiada barang ahli keluarga lain tertinggal. Dek sibuk memastikan semua ruang tiada barang yang tercicir atau tertinggal, rupa-rupanya terlepas pandang barang di kamar sendiri. Pasti ada hikmahnya di sebalik apa yang terjadi. Hanya kerana sebondot pakaian, saya perlu kembali ke Tanjung Tuan 6 hari kemudian. Sebenarnya, selepas daripada kunjungan pertama, saya membuat telahan tentang kewujudan sebuah masjid lama di Tanjung Tuan. Saya hanya sekadar menduga-duga tentang keberadaan binaan yang dimaksudkan. Justeru, apabila menyedari beg plastik pakaian tertinggal, maka saya terus mengaitkan kecuaian tersebut sebagai penyebab untuk saya hadir semula menjejak kesan tinggalan binaan. Bermulanya kisah tanggal 23 September… Sebaik tiba jam 4.00 petang di PNB Ilham Resort, saya dan keluarga beristirehat seketika sementara menanti solat asar. Setelah menunaikan solat, maka bermulalah perjalanan memasuki Hutan Rekreasi Tanjung Tuan yang kedudukan gerbang utamanya kurang 100 meter dari jarak pintu masuk ke PNB Ilham Resort. Melangkah sahaja melewati gerbang utama hutan rekreasi, saya mengajukan pertanyaan kepada seorang petugas di pos pengawal tentang kemungkinan wujudnya sebuah binaan masjid tua. Saya difahamkan, terdapat sebuah pulau iaitu Pulau Masjid berdekatan dengan perigi lama. Di pulau tersebut pada suatu masa dahulu pernah berdiri sebuah masjid. Saya juga dimaklumkan, pada sebelah pagi hari yang sama, salah seorang krew TV3 dibawa seorang kakitangan PNB Ilham Resort menjejak Pulau Masjid. Maka, berita yang dikhabarkan kepada saya telah membenarkan telahan saya terhadap binaan masjid tua yang pernah berdiri sebelumnya di pesisir pantai Tanjung Tuan. Diringkaskan para ke-3, maka perjalanan kali ke-2 pun bermula… Sekitar jam 4.40, saya dan keluarga menapak semula melalui jalan yang pernah dilalui 6 hari sebelumnya. Dalam mencungap-cungap, singgah berteduh di bawah rimbunan pohon. Mendongak menikmati kehijauan sambil merakam foto dedaunan yang memayungi diri. 30 minit perjalanan dari gerbang masuk menuju ke hujung tanjung, akhirnya saya tiba di lokasi dahan berselirat ini yang kedudukannya berdepan dengan arah perigi tua. Masih berada di lokasi sama, namun dahan dirakam dari penjuru berbeza. Melangkah kira-kira 50 meter ke hadapan (jarak anggaran), ditemukan jalinan alam yang mengundang perhatian. Apa sebenarnya agenda saya ke sini dan apa yang ingin dicari? Hajat utama menjejak tapak tinggalan masjid tua di Pulau Masjid. Jejak ke lokasi dimaksudkan berdasarkan info yang diperoleh daripada salah seorang petugas di pos pengawal. Lalu langkah diatur mengikuti pesanan yang disimpan dalam pita ingatan. Hanya saya seorang bergerak menuju ke lokasi ini manakala anak dan suami menanti kurang 500 meter dari tempat saya berdiri sebelum keduanya berpatah semula pulang ke PNB Ilham Resort. Saya masih meneruskan hajat untuk menjejak tapak binaan masjid tua. Saya tidak bersendirian, sebaliknya ditemani seorang siswi jurusan penyiaran dari sebuah IPTS yang hadir bersama bapanya di lokasi sama. Siswi (dalam foto, berbaju jalur melintang) dan ayahnya sedang bersiap sedia mengatur langkah bersama saya bagi mengharungi laluan tanaman bakau dan berbatu untuk menuju ke arah tapak binaan dipercayai pernah berdirinya masjid tua. Hanya kawasan ini mempunyai longgokan batuan sedangkan kawasan pesisir di sepanjang pantai tidak sedemikian. Longgokan batuan seakan pecahan runtuhan binaan. Saya tertanya-tanya adakah bongkahan ini yang dimaksudkan sebagai tinggalan tapak binaan masjid tua di Pulau Masjid? Hal demikian kerana, saya telah diberi gambaran awal sebelum memulakan perjalanan. Menurut apa yang disampaikan, saya difahamkan bahawa tapak binaan akan tenggelam jika air laut pasang. Berdasarkan pemerhatian, terdapat tanda air pasang pada tebing berdekatan yang mana arasnya air laut lebih tinggi daripada longgokan batuan. Pulau Masjid ini menurut maklumat yang diberikan, berada tidak jauh dari lokasi perigi tua. Berdasarkan panduan arah yang dikongsikan secara pertuturan lisan oleh petugas di pos pengawal, maka inilah lokasi yang selari seperti dimaksudkan.
Ada sebuah pulau lain yang dapat dilihat dari arah perigi tua, namun untuk pergi ke sana perlu menaiki bot sedangkan perjalanan ke Pulau Masjid menurut maklumat yang diperoleh boleh ditemukan dengan berjalan kaki. Namun jika air pasang, batuannya akan ditenggelami air laut. Jika tadi saya berada di sekitar longgokan bongkah batuan, kini saya berpindah ke lokasi yang bertentangan arah agar khalayak pembaca dapat melihat lokasi dipercayai tapak masjid tua nun jauh di sana. Kedudukan lokasinya di hadapan batuan gergasi berwarna putih (tempat di mana saya rakamkan jalinan alam di awal catatan).
Cagar alam seterusnya~ Buah mengkuang laut di tepian pantai Yang ini pula apa ceritanya? Spesis serangga iaitu seekor semut merah yang sedang mencari arah. Agak hairan memerhatikan haluan semut ini yang merayap-rayap menuju ke arah air laut. Beberapa kali saya kuis badannya dengan ranting dengan tujuan membawanya ke daratan semula setelah melihatnya terkapai-kapai di dalam air. Jam tangan sengaja saya letak berdekatan semut merah sebagai skala. Saiz semut ini sebesar muka jam tangan saya. Maka, di sini berakhirnya pertemuan saya dengan kedua beranak tadi yang turut sama menyertai pencarian saya sebelum meneruskan perjalanan menjejak sebuah kuil lama yang kedudukannya berdekatan Rumah Api Tanjung Tuan. Sebelum masing-masing membawa haluan, sempat pula siswi tadi memohon keizinan, "Kak, boleh saya temubual tentang Hang Tuah?" Lalu saya sambut pertanyaan tersebut, "Saya bukan pakar sejarah…jika awak mahu tahu saya hanya boleh berkongsi tentang pengalaman saya menjejak khazanah Hang Tuah dalam siri kunjungan peribadi sebelum ini." Soalan yang paling saya nantikan akhirnya muncul jua, "Kakak percaya Hang Tuah wujud?" Lalu saya dengan penuh yakin berkata, "Ya, saya yakin Hang Tuah wujud" sambil menyambung celoteh yang secara spontan bertali arus keluar dari mulut. Bagai seekor burung bayan saya berkata-kata dengan lagak seperti membaca skrip di hadapan mata sambil siswi tersebut menghalakan lensa kamera videonya ke arah saya. Sebaik wawancara tamat, maka berpisahlah kami di simpang 3 sebelum mereka dua beranak meneruskan misi ke simpang kiri menuju ke arah Rumah Api bagi tujuan menjejak kuil lama manakala saya pula membelok ke simpang kanan pulang bersendirian menuju ke gerbang hutan rekreasi. Maka berakhirlah sudah Jejak Khazanah Tanjung Tuan: Siri 2 … Akan saya tampilkan pula Jejak Khazanah Pulau Jerejak pada paparan seterusnya. Wassalam semua =) |
Hutan Rekreasi <b>Tanjung Tuan</b>: Siri 1 « Jejak Mihrab & Mimbar Posted: 20 Oct 2012 10:33 PM PDT
Tarikh : 17 September 2012
Kunjungan ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan tiada dalam perancangan awal. Namun, agenda kunjungan saya sisipkan kemudian pada hari terakhir berada di Tanjung Tuan. Kunjungan ini dijalankan sehari selepas perhimpunan ahli keluarga saya (terdiri daripada adik-beradik, ipar duai dan anakanda saudara) di PNB Ilham Resort. Ayahanda membuat saranan agar pertemuan keluarga ini diatur agar dapat dihimpunkan semua anak, menantu dan cucunya. Perhimpunan ini dihadiri oleh 9 adik-beradik saya termasuk adik bongsu yang pulang bercuti dari Kaherah. Bukan mudah menyatukan kesemua kami yang masing-masing telah berkerjaya. Namun, perhimpunan keluarga pada kali ini amat bermakna buat kami semua. Masuk para ke-2, saya ringkaskan kisahnya…
Tu dia,,,bukan main laju dua adinda lelaki meninggalkan kami di belakang. Saya berada pada kedudukan paling belakang sempat merakam langkah bonda (kanan) dan adik ipar (kiri). Saya tertanya-tanya juga, "Apahal pulak kedua adinda lelaki mencanak berjalan meninggalkan kami bertiga di belakang?" Sepatutnya mereka berdua menjaga kami bergelar wanita yang berada di belakang. Tetapi lain pula gelagat panglima kanan dan panglima kiri (gelaran peribadi yang sering saya tujukan kepada adinda lelaki ke-3 dan ke-4. Panglima hitam iaitu adinda ke-6 tidak dapat sertai kerana ada aktiviti yang diciptanya sendiri). "Gamaknya mereka tidak sabar menjejakkan kaki ke lokasi tapak kaki Hang Tuah." Itu sahaja telahan yang bermain dalam kotak fikiran saya apabila melihat kedua adinda seperti lipas kudung mendahului langkah kami bertiga.
Sebatang pohon yang merentangi laluan di tengah perjalanan. Kali ini saya memintas bonda dan meminta adik ipar pula menggalas tugas sementara sebagai jurufoto sambilan.
Jika tadi sepohon kayu merentangi laluan bawah, pada kali ini sepohon kayu bak pintu gerbang separas bahu merentangi di atas kepala pula. Kami perlu membongkok dan menundukkan kepala agar dahi tidak terhantuk mengenai pohon tersebut. Jika terhantuk, maka jendullah dahi ala-ala spesis flower horn.
Cagar budaya pertama yang ditemukan dalam perjalanan iaitu sebuah perigi yang dipagari tembok batu. Tembok ini berketinggian di antara 1.65 meter hingga 1.70 meter.
Tidak jauh dari kedudukan perigi tadi, ditemukan pula perigi ke-2 (lihat jari telunjuk). Perigi ke-2 ini berada di sisi kiri perigi per-1 tadi. Jarak di antara kedua-dua perigi ini kurang daripada 50 meter.
Perjalanan diteruskan ke arah destinasi dipercayai sebagai lokasi tapak kaki Hang Tuah. Lebih kurang 30 minit perjalanan, kami tiba di hujung tanjung. Sebaik tiba, kedua adinda lelaki melambai-lambai memanggil saya agar mempercepatkan langkah ke arah pantai. Mereka mendakwa menemukan tapak kaki Hang Tuah yang dimaksudkan. Sejurus berada di tempat mereka berpijak, saya tersenyum…"Patutlah mereka berdua ni bagai lipas kudung mendahului kami untuk sampai di sini. Nak mengenakan aku rupanya…" Lihatlah bagaimana mereka berdua mencipta lakaran tapak kaki Hang Tuah di atas permukaan pasir pantai.
Hampir 100 meter ke hadapan (jarak yang saya anggarkan), ditemukan kesan yang dipercayai sebagai tapak kaki Hang Tuah. Kedudukan kesan tapak kaki ini sukar dikenalpasti dek tiada sebarang papan info yang tertera di sini. Pencarian menjadi mudah apabila kedudukannya dimaklumkan oleh Saudara Radzi Sapiee dan isterinya melalui panggilan telefon semasa saya dan keluarga berada di kawasan ini. Saat berdiri di atas batu dengan ketinggian lebih kurang 3 meter (anggaran), saya terkenang situasi semasa berada di Gunung Bentan. Di sana terdapat sebuah batuan yang mendatar dipercayai pernah menjadi tempat persilatan Hang Tuah semasa hayatnya. Di atas permukaan batuan tersebut terdapat sebuah tapak kaki didakwa milik Hang Tuah. Di sisi kiri tapak persilatan pula terdapat sebuah telaga dipercayai tempat Hang Tuah mengambil wudhuk sebelum memulakan persilatan. Situasi yang sama dirasakan apabila menjejakkan kaki ke Tanjung Tuan apabila tapak persilatan, kesan tapak kaki Hang Tuah dan sebuah telaga tua ditemukan mempunyai persamaan kedudukan dengan khazanah di Gunung Bentan. Secara jujurnya, saya merasakan suasana di Tanjung Tuan telah menggamit ingatan saya terhadap khazanah di Gunung Bentan.
Dari atas batuan saya merakamkan foto keluarga yang berada di telaga bawah sana.
Kini, saya turun ke bawah pula…melihat air telaga yang jernih dan dihiasi seakan rumpai laut di dalamnya.
Dari arah telaga tua, saya rakam foto pemandangan nun jauh di hujung mata. Kali ini saya merasakan seperti berada di Benteng Inong Balee di Aceh Besar pula. Entah mengapa perasaan itu hadir, saya sendiri tidak pasti puncanya. Barangkali suasana yang hampir serupa membuatkan lamunan saya jauh menerawang ke wilayah Acheh. Saya biarkan himpunan rasa itu bersarang dalam minda kerana bagi saya, mana mungkin hadirnya rasa tanpa ada sebabnya. Jika bukan hari ini, mungkin esok, lusa atau entah bila pasti akan terungkai jua.
Foto ini merakam segala cerita yang ingin saya kongsikan dengan pembaca. Al kisahnya, bonda saya telah mengambil segayung air telaga lalu membacakan ayat-ayat syifa. Sejak akhir-akhir ini saya dapati bonda begitu istiqamah mempelajari terapi dan kaedah penyembuhan rawatan Islam. Dari awal perjalanan memasuki pintu masuk ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, saya diajar bonda agar mengamalkan surah ar-Ra'd (ayat 11) sebagai pendinding diri yang maksud sebahagian terjemahannya~ Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah… Berbalik kepada kisah di telaga tua…setelah ayat-ayat syifa dibacakan oleh bonda, salah seorang adinda saya termuntah-muntah setelah menjiruskan air di tubuh badannya. Adinda saya ini (yang sedang mempromosikan jenis gayung dalam iklan Gayung Cap Dugung) sering mengadu sakit, namun tidak diketahui punca sebenar walaupun telah mendapatkan rawatan di hospital. Saya yang turut berada di tempat sama merasakan keanehannya apabila melihat adinda muntah-muntah beberapa kali di hadapan mata. Betapa hebatnya ayat-ayat syifa yang dibaca dan dihembuskan bonda ke dalam segayung air telaga sehingga menjadi penawar yang meresap di tubuh adinda. Adinda sendiri mengakui merasa segar sebaik bersiram…sempat pula dia berseloroh sambil merenjis-renjiskan baki air dalam gayung kepada si isteri sambil berkata, "Semoga kuruslah hendaknya." Saya dan adik ipar hanya ketawa dek gelihati dibuatnya.
Ini bukan iklan key chain tetapi kunci kereta adinda. Ada apa cerita di sebalik paparan foto ini pula? Saya dipersendakan adinda buat kali kedua. Dalam perjalanan ke rumah api Tanjung Tuan, adinda ke-4 secara tiba-tiba mengeluarkan objek ini yang saya sangka telefon bimbit bersaiz kecil miliknya. Dengan lakonan bersahaja, dia bersandiwara seakan bercakap dengan abang iparnya. Lalu diserahkan objek ini ke tangan saya sebelum saya berulang kali menyebut "Hello!" namun tiada jawapan disambut pihak sana. Gelagat saya ditertawakan adinda yang mengatakan bahawa, "Inilah akibat terlalu taksub, kunci kereta pun disangka hp…" Saya dengan selamba membalas kata-katanya, "Tiada apa yang mustahil, tiada apa yang pelik jika wujud hp sekecil ini…barangkali ada yang lebih kecil yang muat disumbatkan ke dalam lubang telinga!"
Tiba di lokasi Rumah Api Tanjung Tuan. Perjalanan ke rumah api ini memakan masa selama 15 ke 20 minit jika berjalan kaki (bergantung kepada kepantasan mengorak langkah) dari arah pintu masuk utama. Rumah Api Tanjung Tuan adalah yang tertua di Malaysia. Rumah api ini dibina pada tahun 1860 setelah binaan asalnya musnah pada abad ke-16. Laut berdepan rumah api ini merakamkan peristiwa bersejarah apabila pernah menjadi medan pertempuran sengit di antara armada Belanda dengan Portugis pada tahun 1606 (seiring zaman permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda Acheh) sehingga menenggelamkan 4 kapal perang termasuk Nassau iaitu sebuah kapal perang Belanda. Kunjungan kami berakhir di sini sebelum mengatur langkah kembali ke lokasi penginapan di PNB Ilham Resort.
Dalam perjalanan pulang, kami sekeluarga yang bergerak secara konvoi singgah di pekan Seremban…pekena Maideen Cendol. Apa yang menarik tentang cendol ini ialah ketulan ais disagat pada alat yang permukaannya seperti kukur kelapa.
Pertemuan berakhir di meja makan sebuah restoran di Seremban dengan membuat pesanan menu nasi padang sebelum kami bersurai meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Sekian sahaja catatan paparan Jejak Khazanah Tanjung Tuan: Siri 1 sebelum menyusul Jejak Khazanah Tanjung Tuan: Siri 2 yang akan ditampilkan sehari dua jika tiada kekangan masa. Wassalam… |
You are subscribed to email updates from di tanjung tuan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan