|   di negeri melaka - Google Blog Search   | 
| Penubuhan Perpustakaan Awam <b>Negeri Melaka</b> dalam era <b>...</b> Posted: 27 Oct 2012 07:55 AM PDT   Oleh : Harith Faruqi Sidek   Penubuhan Negeri-negeri Selat  adalah kesan daripada perjanjian Inggeris – Belanda pada 1824, ianya  menyaksikan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu dibahagi diantara dua  kuasa penjajah tersebut. Negeri-negeri di utara di bawah pentadbiran Inggeris,  sementara negeri di Selatan terletak dibawah pentadbiran Belanda. Perjanjian  tersebut juga melihatkan Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris sebagai  pertukaran dengan Bangkahulu di Sumatera  yang asalnya milik Inggeris, selain daripada  itu, Belanda juga bersetuju mengiktiraf kuasa autonomi inggeris keatas  Singapura.   Kesan kedatangan inggeris ke  negeri-negeri selat dapat dilihat sehingga ke hari ini, selain nama-nama  inggeris yang diabadikan di penempatan dan bangunan, mereka turut meninggalkan  jejak yang memberi kesan kepada tradisi keilmuan di Tanah Melayu. Institusi Perpustakaan  adalah lambang perkembangan dan pembudayaan ilmu, maka agak menarik bila  institusi ini mula dikesan wujud sejak Tanah Melayu berada dibawah pentadbiran  Inggeris. Dalam tempoh pentadbiran negeri-negeri selat mulai 1826 hingga 1946,  beberapa perpustakaan telah diwujudkan, termasuk perpustakaan sekolah, namun  yang akan dikongsikan dalam penulisan ini ialah mengenai tertubuhnya  perpustakaan awam yang pertama di Melaka.   Perpustakaan Melaka dikatakan  telah ditubuhkan sekitar bulan November 1881 dengan inisiatif sebuah  jawatankuasa yang diketuai oleh C.J Irving. Pada peringkat awal, perpustakaan  ini ditempatkan di sebuah rumah rehat sebelum dipindahkan ke bangunan Stadthuys  atau disebut juga sebagai Stadthouse. Kos pembangunan yang diperolehi dari  hasil sumbangan adalah sekitar $598 (The Straits Times, 17 Mei 1936:10). Tetapi  laporan Straits Times Overland Journal bertarikh 12 November 1881 melaporkan  rentetan tertubuhnya Perpustakaan Awam Melaka bermula dengan satu mesyuarat  yang diadakan pada hari sabtu, 11 november 1881 di Court House yang khusus bagi  membincangkan cadangan menubuhkan sebuah perpustakaan di negeri itu, iaitu sepertimana  perpustakaan yang lebih awal wujud di Singapura dan Pulau Pinang. Mesyuarat  yang dipengerusikan oleh Pemangku Residen Councillor, D.F.A Harvey itu telah  sebulat suara menerima usul penubuhan Perpustakaan Awam Melaka yang dibaca oleh  C.W. Rodyk dan disokong oleh W. Rodyk. Mesyuarat tersebut juga bersetuju bahawa  panduan dan peraturan perpustakaan yang akan digunapakai kelak adalah diambil  atau diubahsuai daripada yang sedang dilaksanakan di Raffles's Library,  Singapura. Selain dana awam yang telah terkumpul sebanyak $611, mesyuarat juga  memohon jawatankuasa penubuhan perpustakaan melaka yang akan diwujudkan memohon  bantuan kewangan tambahan selain ruang di mana-mana bangunan kerajaan untuk  menempatkan perpustakaan tersebut kelak. Ahli jawatankuasa penubuhan  Perpustakaan Melaka yang telah dilantik dalam mesyuarat tersebut ialah:   President : D.F.A Hervey  (Pemangku Residen Councillor di Melaka)   Bendahari : J.K Birch (Mejistret  jabatan Polis Melaka)   Setiausaha: C.W Rodyk (Pengetua  Sekolah Tinggi Melaka)   Ahli:       J.H Verge                   Tan  Tek Guan                   A.J  Collier                   Lee  Keng Liat                   A.A  De Wind                   Lee  Teck Joo                   W.Rodyk                   Americo  De Souza                   B.  Gastelow   Agak menarik juga bila mendapati  terdapat nama rakyat tempatan dalam mesyuarat penubuhan tersebut, selain Tan  Tek Guan dan Lee Keng Liat yang terpilih menganggotai Jawatankuasa Penubuhan  Perpustakaan Melaka, nama Yeo Kim tee turut dilaporkan dalam laporan akhbar  tersebut. Perpustakaan ini dipercayai yang ketiga wujud di Malaya, iaitu  selepas Perpustakaan Pulau Pinang dan Raffles Library di Singapura yang  ditubuhkan pada 1817 dan 1874.   Mulai disember 1881, perpustakaan  ini telah mempunyai koleksi bahan bacaannya yang terawal, bahan tersebut ialah  majalah Chatterbox, Every Boy's Magazine, Every Girl's Magazine, Family Herald,  Fun and Almanack, Gentleman's Magazine, Good Words and Christian Number dan  Myra's Journal. Kebanyakkan bahan ini dilbekalkan oleh pembekal luar Negara,  khususnya dari United Kingdom.   Jawatan tertinggi dalam struktur  organisasi Perpustakaan Melaka ialah Presiden, ianya disandang oleh Charles  John Irving, beliau merupakan bekas pegawai di Colonial Office Land and  Emigration Department, Resident Councillor di Melaka sebelum bersara sebagai  Resident Councillor di Pulau Pinang. Perpustakaan Melaka tertubuh adalah hasil  inisiatif beliau sewaktu masih memegang jawatan sebagai Resident Councillor di  Melaka, pada masa itu juga beliau diamanahkan jawatan Presiden kepada  jawatankuasa Perpustakaan. Kakitangan terawal perpustakaan ini ialah Norman  Symons, beliau dilantik menjalankan tugas sebagai seorang pustakawan dengan  gaji $20 sebulan. Jawatankuasa perpustakaan kemudiannya melantik dua orang peon  (pembantu pejabat) dengan gaji $6 sebulan.    Akibat masalah belanjawan yang  terhad, jawatankuasa perpustakaan Melaka terpaksa merombak semula perjawatan,  mereka telah menamatkan khidmat Norman Symons selaku pustakwan, tempat beliau  digantikan dengan seorang kerani yang menerima gaji sebanyak $10 sebulan,  sementara seorang peon turut diberhentikan , tetapi kemudianya digantikan  dengan membuat pengambilan baru dengan tawaran gaji permulaan yang lebih rendah  iaitu $2 sebulan.    Laporan mesyuarat agung  jawatankuasa perpustakaan pada januari 1887 menunjukkan perpustakaan Melaka  telah mempunyai koleksi buku sebanyak 1,129 naskah, sementara rekod pengunjung  pula adalah melebihi 200 orang sebulan. Sementara bacaan popular adalah akhbar  The Straits Times dan The Singapore Free Press. Perpustakaan Melaka juga telah  mempunyai keahlian berdaftar seramai 40 orang yang kebanyakkannya terdiri dari  pegawai tinggi British, antaranya Pendaftar Mahkamah Melaka, Charles Eugene  Velge dan Seorang peguam terkemuka, R.W Braddell, dan yang menariknya terdapat  dua nama rakyat tempatan yang tercatat dalam rekod keahlian tersebut, mereka  ialah Lee Tek Joo dan Lee Tek Guan.   Diantara tokoh era colonial yang  pernah menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Sir Ernest W. Birch,  beliau adalah anak kepada J.W.W Birch, Residen British yang mati dibunuh di  Perak. E.W Birch pernah berkhidmat sebagai Residen British di Labuan, Gabenor  British di Borneo Utara dan Residen di Negeri Sembilan. Beliau menyertai  Jawatankuasa Perpustakaan Melaka pada mac 1888. Selain Birch, tokoh lain yang  turut menganggotai Jawatankuasa Perpustakaan Melaka ialah Dr. G.W Freer (Pakar  Bedah di Melaka, kemudiannya menjadi Pengarah Hospital Pulau Pinang dan pada  1905 dilantik menjadi Pengetua Pertama Kolej Perubatan King Edward VII,  Singapura), E.C Broadrick (Presiden Perbandaran Singapura) dan J. Howell  (Pengetua Sekolah Tinggi Melaka).   Sewaktu dibawah Rev. Frank  Haines, Perpustakaan Melaka telah cuba memperkenalkan waktu pembukaan baru yang  lebih panjang. Sepanjang waktu percubaan, Perpustakaan telah dibuka mulai jam 6  pagi sehingga 7 malam dari isnin hingga jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada  hari ahad. Namun waktu percubaan ini ternyata tidak berkesan dan lebih sulit  lagi dari sudut pengurusan, lalu ianya ditolak oleh jawatankuasa. Pada tahun  1901, akibat belajawan yang semakin susut, Pengurusan terpaksa memberhentikan  seorang Peon yang juga merupakan kakitangan mereka yang terawal. Peon tersebut  telah diberi gratuiti sebanyak $25 bagi menghargai perkhidmatannya selama 20  tahun di Perpustakaan Melaka.   Pada tahun 1902, Perpustakaan  Melaka telah membuat perancangan penjimatan iaitu dengan membeli buku terpakai  dari Raffles Library di Singapura dengan harga $1.25 senaskah. Raffles Library  juga telah memperkenalkan perkhidmatan pinjaman antara perpustakaan dengan  bayaran sebanyak $5 untuk 30 volume bagi setiap penghantaran.    Perpustakaan Melaka dikatakan  berada dalam tempoh perkhidmatan terbaiknya diantara tahun 1927 hingga 1930  dengan beberapa penambahbaikan dari segi frasarana. Perpustakaan mula membuat  perolehan judul-judul buku fiksyen dan non-fiksyen yang terkenal, Ruang bacaan  juga telah dilengkapi dengan kipas angin selain memperkenalkan koleksi remaja  dengan bantuan dana kerajaan sebanyak $600. Kad indeks pengarang juga telah  diperkenalkan oleh H.W Haworth dan telah digunapakai mulai pada tahun 1930.   Menjelang tahun 1936, koleksi  Perpustakaan Melaka telah mencapai 6000 naskah, antara bahan yang menarik ialah  memoir Sir Stamford Raffles, buku karangan Sir Stamford Raffles tentang sejarah  negeri Jawa, Sejarah Sumatra oleh Mardsen dan Anecdotal History of Singapore  oleh Buckley. Perpustakaan Melaka juga telah dipindahkan ke dua buah bilik yang  agak besar ditingkat atas bangunan Stadhouse (Stadhuys) dengan pemandangan yang mengadap  sungai dan binaan Air Pancut Queen Victoria. Disebelah Perpustakaan, adalah  bilik yang dikhusukan untuk Persatuan Sejarah Negeri Melaka, ianya umpama  galeri yang menempatkan banyak khazanah bersejarah negeri Melaka. Berdasarkan  gambaran yang dilaporkan dalam artikel tersebut, Ruang yang pernah menjadi  Perpustakaan Melaka itu kini dipercayai adalah ruang yang sama dimana beberapa  muzium dan galeri yang ditempatkan di bangunan Stadthuys kini. Perpustakaan itu  kemudiannya telah dinamakan sebagai Henry Gurney Memorial Library.   ________ ( 12 November 1881). Library for Malacca, Straits Times Overland Journal. p. 3   A.L Hoops. (17 May 1936). History of Malacca Library. The Straits Times. P.10 | 
| You are subscribed to email updates from di negeri melaka - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google | 
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
 
   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan