04 di tanjung bidara - Google Blog Search |
Fantasi Itu Duniaku: <b>Tanjung Bidara</b> Beach Resort, 2013... Wallah!!! Posted: 11 Jul 2013 09:54 AM PDT Kalau diberikan pilihan, aku mahukan satu percutian yang sangat panjang; sebulan dua. Pergi jauh membawa diri ke tempat yang damai dan tenang tanpa perlu memikirkan masalah apatah lagi kesibukkan kota yang tiada penghujung. Namun itulah dia pakej kehidupan yang telah diberikan kepada setiap manusia. Kalau mahu bercuti panjang hanya ada pada satu tempat. Mati. Di alam barzakh nanti, itupun terserah kepada amalan kita. Cukup atau tidak untuk kita dibiarkan berehat atau diberikan balasan secukupnya di atas kesalahan dan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Hmm. Lain macam aje bunyinya! Hahaha. Ini semua gara-gara kemarahan yang aku simpan. Apa tidaknya, sudah berjam-jam memandang skrin komputer untuk menyiapkan entri istimewa buat blogku ini. Malangnya, entah apa yang tidak kena, semuanya hilang begitu sahaja. Aduhai... sangatlah mustahil untuk aku mengulangi semula setiap baris ayat yang sudah aku buat tadi! Kenapakah engkau begitu kejam P1!!! Tak mengapalah, mungkin ayat tidak akan sama dengan artikel asal yang aku buat sebentar tadi tetapi isi (pengalaman) aku boleh ulang berkali-kali. Sebelum kejadian bencana jerebu tempoh hari, aku telahpun membuat tempahan chalet untuk percutian famili aku buat kali pertama tahun ini. Itupun kerana pelbagai perkara yang berlaku. Perkara penting antaranya kelahiran ahli baru keluarga kami; Firzudeen Aqasha dan juga Mysarah. Sukar untuk kami melakukan percutian kerana mereka berdua ini masih kecil. Apabila bacaan IPU mencapai tahap berbahaya dan darurat terpaksa diisytiharkan, beberapa orang menasihatkan aku supaya membatalkan tempahan yang telah aku buat sejak awal Mei yang lalu. Terkilan dan kecewa tetapi aku tidak menurut sebaliknya mengambil langkah tunggu dan lihat. Apabila IPU sudahpun mencatatkan bacaan normal, aku sedar yang keputusan yang diambil tempoh hari tidak salah. Maka, berlepaslah kami sekeluarga ke Tanjung Bidara Beach Resort pada Sabtu yang lepas. Hakikatnya, pada tarikh yang sama ada satu mesyuarat yang perlu kami hadiri sebagai ahli jawatankuasa. Namun apa yang lebih penting bagi aku adalah percutian bersama famili ini. Selain aku sudah rancangkan dari awal, ia juga merupakan janji aku kepada umi dan abah supaya mereka dapat berehat. Maaflah, aku memang jenis yang mendahulukan keluarga berbanding yang lain. Terima kalau kalian mahu, tinggalkan kalau enggan memahami. Mudah bukan? Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama kami bercuti ke Tanjung Bidara Beach Resort malah, aku pernah mengisikan satu entri khas berkenaan percutian aku ke sini pada 4 tahun yang lepas, iaitu pada tahun 2009. Ketika itu, keluarga kami masih lagi kecil bilangannya. Begitu juga TBBR yang jauh berbeza dengan apa yang ada pada hari ini. Kalau dahulu bilangan kami bertujuh, sekarang bilangannya sudah bertambah menjadi 9 orang. Begitu juga dengan TBBR yang sudah jauh berubah. Sejauh mana ia berubah? Tunggu dulu, akan dijelaskan satu per satu. Hehehe. Sebagaimana yang pernah aku lakukan sebelum ini, kali ini juga aku membuat pengesahan berkali-kali kerana tidak mahu perkara yang sama berulang. Mujur ketika aku sampai ke sini, semuanya sudah tersedia dan kami diberikan chalet no 206. Kebetulan, ia merupakan chalet yang bersebelah dengan chalet yang pernah kamu huni pada tahun 2009 dahulu. Jika dahulu, chalet ini terdiri dari 2 unit bilik dan seunit dapur, kali ini chalet ini telah diubah menjadi 3 bilik dan tiada dapur. Wah, sungguh tepat dengan bilangan kami sekeluarga. Disebabkan kami tiba selepas waktu tengah hari, makanya perut masing-masing sudah berkeroncong dan para lelaki budiman keluarga (abah, abang Zamri dan Firdaus) telah keluar untuk mencari makanan. Manakala kamu yang lain tinggal untuk membersihkan tempat tinggal dan sempat juga merakam beberapa keping gambar sebagai kenangan. Wah, boleh tahan juga anak-anak buah aku. Masing-masing sangat mesra dengan lensa kamera. Sebaik sahaja selesai sesi santap menyantap, secara automatiknya mata masing-masing mahu lelap. Walaupun di ketika itu sedang hangat ditayangkan filem Ghajini di peti televisyen tetapi tetap tidak mampu membuatkan mata aku terus setia menonton Ghajini. Lagipun, kamu perlu berehat sebelum meneruskan aktiviti yang seterusnya. Tepat pukul 5 petang, maka kami anak-beranak kecuali abah dan umi, masing-masing tidak sabar untuk membasahkan badan di kolam renang. Keterujaan ini boleh dilihat menerusi Mierza dan Miqhail tetapi sayangnya mereka beruda jugalah tidak merasa berendam lama-lama di dalam kolam renang! Alangkah sedihnya, apabila Miqhail dan Mierza berpakat tidak mahu turut serta bersama kami. Sebaliknya Mysarah yang sangat tenang apabila dibawa masuk ke kolam renang. Begitu juga dengan Aqasha walau pada awalnya, dia juga terkena tempias mogok dari abang-abangnya. Peluang yang ada ini digunakan sepenuhnya. Inilah masalah yang seringkali aku alami setiap kali tiba ke destinasi pelancongan yang mempunyai perairan sama ada sungai, pantai ataupun kolam renang. Seakan ada perasaan keterujaan untuk bermain-main air termasuklah keinginan yang sangat tinggi untuk berenang. Berenang? Tahukah aku bagaimana untuk berenang. Hmm. Berenang itu adalah salah satu kemahiran. Kemahiran pula memerlukan latihan dan harus sentiasa dipraktikan. Jika tidak dipraktikan maka kemahiran itu akan menjadi tumpul Sebagai contoh, pemandu kereta yang sudah bertahun-tahun memandu kereta auto akan mengalami masalah untuk memandu kereta manual. Tak percaya? Cuba pada seseorang! Hahaha. Jadi, begitu jugalah maksudnya dengan berenang ini. Ia juga merupakan salah satu kemahiran. Tanpa latihan dan tidak dipraktikan, maka kebolehan berenang itu akan menghilang. Begitu jugalah kemahiran renang yang ada padaku. Tambahan pula, aku baru tahu asas untuk berenang dan kalau tercampak ke laut dalam, tentu mati lemas aku dibuatnya! Saat yang paling aku suka ketika berada di dalam kolam ini adalah sewaktu badanku terapung. Terasa diri ringan sungguh. Seakan semua beban kehidupan jauh tertinggal ke dalam. Ke dalam yang entah di mana? Hehehe... Keriangan berendam di dalam kolam renang dimeriahkan lagi dengan beberapa peserta kem yang kebetulan turut diadakan pada hari tersebut. Lebih mengujakan apabila ada muzik iringan yang dipasang dan sekumpulan remaja yang berada dalam kolam menari mengikut rentak. Itu pun di dalam air! Wah, sangat luarbiasa sehinggalah kami semua diminta untuk keluar dari kolam disebabkan kolam renang terpaksa ditutup awal kerana memberi peluang kepada aturcara untuk peserta kem. Awalnya, kami tidak berpuashati juga kerana tak pasal-pasal dihalau. Tetapi, masing-masing menyimpan harapan agar esok perkara serupa tidak akan berulang. Sebelum menempuh hari esok, kami harus menempuhi waktu malam. Hehehe. Ini bermaksud, tibalah pula masanya untuk memburu tempat untuk mengisi perut. Lazimnya, setiap kali kami ke Melaka, abah akan bawa ke Tanjung Kling untuk menikmati Roti John istimewa. Sayangnya, tidak ada satu pun gerai Roti John ditemui. Berpusing-pusing juga mencarinya tetapi terpaksa akur dan berhenti makan di kedai biasa. Hmm. Makan nasi hidang sahaja. Mungkin disebabkan kelaparan (makanan sampai lambat), jurukamera terlupa merakam gambar dan gambar yang diambil pula hilang fokus! Fuyooo!!! Hahaha. Selesai mengisi perut, niat di hati hendak pergi melawat sekejap ke kota Melaka atau lebih tepat lagi Dataran Pahlawan. Disebabkan sudah agak lewat dan juga dalam masa yang sama tidak yakin akan dapat melepasi kesesakkan kota Melaka ini, kami terus pulang semula ke chalet. Kalau dulu, senang sungguh untuk menjejak kaki ke kota A Famosa. Sekarang tidak lagi, susah benar untuk melepasi kawasan bersejarah itu. Dulu, senang-senang aje bergambar di replika kapal. Sekarang, nak parking kereta pun azab! Alahai Melaka!!! Setibanya kami semula ke chalet, dah tak ada perkara lain yang nak dibuat. Masing-masing keletihan dan mengantuk. Lagipun, memang itulah tujuannya percutian ini bukan? Berehat! Jadi, tidurlah kami awal dengan nyenyak sekali. Sehinggalah bangun semula untuk hari yang baru. Ah, singkat betul percutian ini. Seawal 7 pagi, masing-masing sudah bersiap sedia untuk menyerang kafeteria untuk sarapan pagi. Berbaloi juga harga yang ditawarkan untuk seorang; RM15. Dengan pelbagai pilihan makanan yang disediakan, tidak ada seorang pun melepaskan waktu sarapan pagi. Termasuklah aku yang seharusnya berpantang. Ya, aku cuma makan sepinggan mee goreng dan beberapa ketul sosej. Ah, sedap! Sebelum kembali semula ke chalet, aku, Ayuz, Firdaus dan Aqasha tidak melepaskan peluang yang terakhir untuk bermesra dan berbasahan di dalam kolam renang. Seperti semalam, pagi ini juga kolam sudah dipenuhi. Kali ini, dengan kanak-kanak pula. Seronok juga hingga aku tumpang sekaki bermain senapang air! Hahaha.... (teringat kata seseorang, jangan biarkan jiwa keanak-anakkan dalam diri mati!). Agak lama juga berendam di dalam kolam tetapi harus akur untuk pulang semula ke chalet, bersiap sedia untuk check out. Jadi, perkara terakhir yang kami lakukan ketika berada di sini adalah membasahkan kaki dengan masinnya air laut. Bukankah sombongnya aku, sudah sampai ke pantai tetapi tidak mahu membenamkan kaki ke dalam air laut. Aku bertemankan Ayuz dan Firdaus meluangkan sedikit masa bermain-main dengan air, sambil menyampaikan salam kepada alam. Biar dia tahu kehadiran aku di tanahnya. Sesungguhnya tiada yang indah melainkan ciptaan Allah. Langit yang membiru itu membuatkan aku segera melepaskan segala rasa. Laut yang luas itu membuatkan aku bersyukur dapat juga sampai ke sini. Allahu Akbar!!! Sepertimana kebiasaannya, satu perkara wajib yang harus dilakukan setiap kali kami singgah di mana-mana juga. Iya, gambar keluarga. Dengan bilangan ahli keluarga yang telah bertambah, gambar ini seakan lengkap. Aku berharap, di satu hari nanti kami akan kembali lagi ke sini tetapi untuk tempoh percutian yang panjang. Insya-allah... Kami tinggalkan Tanjung Bidara Beach Resort dengan harapan untuk kembali semula di satu hari nanti. Insya-allah, semoga Allah perkenankan. Amin... |
You are subscribed to email updates from di tanjung bidara - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan