|      Angler's File: Pancing tengas <b>di Sungai Rambai</b>       Posted: 09 Apr 2014 01:03 PM PDT       Teks dan gambar Mohd Rifaat Abd Hamid       KEJERNIHAN dan kesejukan air dari Pusat Rekreasi Bukit Perak, Sungai   Rambai, Pendang, Kedah memang memukau pengunjung dan tidak hairanlah   pusat rekreasi itu menjadi aset pelancongan di negeri ini.Terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari Pekan Pendang dan 35km dari   Lebuhraya Utara-Selatan, ia sudah pasti menjadi tarikan pengunjung   terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan.          Suasananya yang damai dan desiran air terjun beberapa tingkat serta   bunyi sang unggas cukup mengasyikkan itu mampu memberikan peluang untuk   berehat dengan tenang.            Di pusat rekreasi Sungai Rambai itu terdapat beberapa kolam dan ia   amat sesuai untuk pelbagai lapisan usia sama ada dewasa atau   kanak-kanak.   Walaupun air terjunnya datang dari bukit tetapi pengunjung boleh mendaki ke atas dengan menaiki anak tangga yang dibina.   Setiap ketinggian yang didaki memberi peluang kepada pengunjung   melihat pokok berusia lebih 100 tahun dan keindahan flora dan fauna di   Bukit Perak.     Selain kaya dengan flora dan fauna serta airnya yang sejuk, Bukit   Perak yang menjadi Hutan Simpanan itu juga kaya dengan pokok herba serta   sering dikunjungi sesiapa saja untuk mencari pokok herba.     Antaranya ialah tongkat ali, serai wangi dan tunjuk langit yang baik untuk kesihatan.     Pengunjung boleh memilih sama ada mahu bersantai di bawah teduhan bayang-bayang pepohon atau pondok yang dibina untuk kemudahan.     Pengunjung juga dapat memasak dan mengadakan berbeku di tebing kolam yang pasti menyeronokkan.     Rekreasi Sungai Rambai itu turut sesuai untuk aktiviti lasak dan perkhemahan.  Pada setiap hujung minggu, ada pihak terutama dari Daerah Pendang menganjurkan aktiviti kokurikulum untuk pelajar.     Aktiviti ini bertambah menarik lagi menjelang Julai dan Ogos apabila   kegiatan memancing ikan tengas menjadi buruan pemancing ke situ.     Ada kanak-kanak sanggup meranduk air untuk menangkap ikan kecil yang galak berenang.     Di samping itu, terdapat beberapa kemudahan asas dibina seperti bilik air, pondok dan surau.     Justeru, bagi yang sedang merancang untuk berkelah sambil menikmati   keindahan alam semula jadi bersama keluarga, Pusat Rekreasi Bukit Perak,   Sungai Rambai, Pendang, Kedah adalah destinasinya.Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/26                |   
Tiada ulasan:
Catat Ulasan