Mereka ialah Roslan Ahmad, Zaleha Bujang dan Datuk Mohd Said Yusof, kata sumber dalaman Umno bahagian Jasin.

PETALING JAYA: Tiga nama disebut-sebut menjadi calon Barisan  Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri  (DUN) Merlimau. 
Mereka ialah Roslan Ahmad, Zaleha Bujang dan Datuk Mohd Said Yusof, kata sumber dalaman Umno bahagian Jasin.
 Roslan  adalah Ahli Jawatankuasa  (AJK) Umno bahagian Jasin dan anak kepada  Datuk Ahmad Ithnin yang satu ketika pernah menjadi ahli Dewan Undangan  Negeri Sungai Ramai .
 Ahmad merupakan abang kepada Datuk Seri Abu Zahar, bekas Ketua Menteri Melaka pada tahun 1997 hingga 1999.
 Roslan  berumur 39 tahun, berasal dari Kampung Batu Gajah, Merlimau dan bekerja  sebagai penyelia dengan sebuah agensi kerajaan negeri Melaka.
 Manakala Mohd Said adalah bekas Ahli Parlimen Jasin selama dua  penggal mulai 1999 dan kini merupakan Timbalan Ketua Umno bahagian.
 Zaleha  pula memegang jawatan Ketua Wanita Umno Jasin sejak tahun lalu  mengambil alih dari Datuk Ramlah Abas yang mengundur diri..
 "Ketiga-tiga nama tersebut merupakan cadangan majoriti AJK bahagian dan akan diberi keutamaan dalam mesyuarat nanti.
 "Tetapi nama Roslan yang paling di atas, bermakna peluang  beliau akan menjadi calon sangat besar.
 "Namanya (Roslan) juga menjadi perbualan di kalangan ahli dan penyokong Umno Merlimau dan Jasin," kata sumber itu lagi.
 Bagaimanapun, satu sumber lain memberitahu beberapa nama lain turut dicadangkan untuk dibincangkan sebagai calon BN.
 Mereka ialah Mohd Nasser Selamat, Abdul Nasir Bazid dan Setiausaha Pemuda Umno Jasin Jazlee Pit.
 Setiausaha  Umno bahagian Jasin Datuk Ghazali Muhamad memberitahu pihaknya akan  mengadakan mesyuarat hujung minggu ini untuk membincangkan nama calon  DUN Merlimau.
 Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pilihanraya tersebut Jumaat ini.
 "Jawatankuasa Umno bahagian akan memilih sekurang-kurangnya tiga nama untuk dihantar kepada Umno negeri untuk dipilih.
 "Tiga nama adalah syarat yang ditetapkan oleh Umno negeri tetapi  mungkin lebih daripada itu yang kita hantar kepada Umno Melaka," katanya  ketika dihubungi petang semalam.
 Ghazali berkata, selepas itu  Umno negeri akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa Umno bahagian  Jasin untuk memuktamadkan senarai calon BN untuk DUN Merlimau.
 Katanya, nama yang telah dipersetujui oleh Umno bahagian dan Umno  negeri itu dihantar kepada ibu pejabat parti di Kuala Lumpur untuk  dipilih.
 Pilihanraya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan  kematian wakilnya Datuk Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dari BN   seminggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan